editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah meraikan Ulang Tahun Ke-13 kali ini, dengan membuka lembaran baharu ke arah memperbanyakkan program berasaskan ilmu yang akan menyelitkan buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam dilancarkan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Menyokong industri buku yang sedang kembali rancak, Pengarah Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah meraikan buku berkenaan dengan menyelitkan pengisiannya ke dalam program di stesen televisyen berkonsepkan Islami itu.
Katanya, TV AlHijrah sendiri turut mengeluarkan naskhah yang diadaptasi daripada rancangan asalnya, Cinta Ilmu, Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu.
Ia antara lain katanya, TV AlHijrah sebagai medium penyiaran maklumat bercirikan Islam berusaha mendepani cabaran termasuk pertelingkahan antara agamawan dan ‘scammer’ agama, di samping menyatukan ummah dengan ilmu ketika ini bertepatan temanya iaitu ‘Satukan Ummah Dengan Ilmu’ mengikut pelbagai platform.
“Kita raikan buku yang dilancar Perdana Menteri, kita ambil buku itu dan akan selitkan dalam semua program (TV AlHijrah) sama ada di slot berita atau temubual bicara Assalam.
“Saya dan ‘team’ akan memperbanyakkan program berasaskan ilmu, terutama melibatkan aliran, memahami perkembangan agama, konteks dan ideologi semasa.
“Penting untuk mengatakan adab sangat diutamakan dalam perselisihan. Walau tidak setuju sekali pun, penting untuk kita memahami adab dalam selisih faham,” katanya dalam program Sembang Santai Ulang Tahun Ke-13 TV AlHijrah, di sini.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporatnya, Saifulizan Sidek dan Pengurus Penjenamaan, Faraliza Musleh bersama media.
Namanzee berkata, masyarakat ketika ini kebanyakannya bijak dan pandai, namun tidak semuanya memiliki adab dan melihat suatu perkara ilmu itu dari sudut mata hati.
“Hanya adab dalam berilmu, kita mampu redakan keadaan. Seperti audiens kita, mereka juga ada hak untuk memberi pandangan dan komen.
“Kita sangat menghormati pandangan mereka. Walaupun kita betul, tetapi akhirnya kepada penonton. Jadi, kita berlapang dada,” katanya.
TV AlHijrah adalah stesen penyiaran berkonsep Islami di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan melapor kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memulakan siaran secara rasmi pada 1 Muharam 1432H bersamaan 7 Disember 2010.
Sementara itu, sinonim dengan nama agensi penyiarannya, Namanzee berkata, TV AlHijrah juga berhijrah ke arah perubahan lebih dinamik, dengan mengadaptasi perkembangan teknologi semasa seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Anjakan perancangan sempena ulang tahun ini, TV AlHijrah akan berada di pelbagai aplikasi selain televisyen. Ini termasuk membangunkan teknologi AI perbualan GPT (ChatGPT) selain kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta TikTok.
“Sesuai dengan ‘tagline’ Memacu Kreativiti Inovasi dengan Teknologi AI. Ini bagi memastikan TV AlHijrah kekal relevan dengan orang muda, dan penyampaian perkembangan ilmu,” katanya.
INFO ANUGERAH & PENCAPAIAN TV ALHIJRAH BAGI 2023
• Anugerah ‘Asia Excellence in Islamic & Multicultural Broadcasting’ di Asia Achievement Excellence Award Winner 2023 Jakarta, Indonesia.
• Anugerah Corporate Media Company of The Year-Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 anjuran The Corporate LiveWire, sebuah syarikat penerbitan yang bernaung di bawah Fenicemedia, Birmingham, UK.
• Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik (menerusi Hijrah Prihatin) di Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023)