editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ yang kini penyampai radio Hot FM, diumumkan antara penyampai trofi yang bakal menghangatkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, yang akan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, pada Jumaat ini.
ABPBH 35 yang akan dipentaskan di panggung seni utama negara, Istana Budaya dan diajaibkan oleh penaja utama, Fellera Skin, bakal menyaksikan gandingan bintang legenda dan angkatan baharu dalam mengemudi dan menyerikan segmen persembahan serta penyerahan trofi berprestij ABPBH.
Pada majlis itu, penyampai radio Hot FM, Johan dan pengacara popular, Ain Edruce diumum sebagai hos utama edisi ke-35 ABPBH, yang diiktiraf sebagai acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia.
Kemunculan Johan di pentas ABPBH 35 pasti mengubat rindu peminat. Pengalaman dan kepakaran dimiliki Johan dan Ain yang juga hos program sensasi terbitan TV3, Melodi, dalam mengendalikan program hiburan termasuk acara anugerah, menjadi sandaran agar ABPBH 35 yang bertemakan Ekspresi Legasi Seni, dapat mencipta magis tersendiri dan sekali lagi trending dalam media sosial.
Manakala acara karpet merah akan dihoskan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan Riena Diana.
Antara barisan artis dan selebriti penyampai trofi adalah pelakon baharu seperti Meerqeen, Siti Hariesa dan Anna Jobling termasuk Puteri Sarah Liyana dan Raysha Rizrose.
Tidak ketinggalan, pelakon hebat seperti Beto Kusyairy dan primadona filem Melayu, Erra Fazira serta pengarah, penerbit dan pelakon, Erma Fatima dan Janna Nick.
Turut memeriahkan acara adalah pengacara radio dan televisyen (TV) seperti Fara Fauzana, AG dan Haiza serta Sherry Alhadad dan Che Puan Sarimah Ibrahim, penyanyi Mas Idayu dan Sissy Iman.
Barisan artis yang membuat persembahan turut membabitkan bintang yang layak bergelar lagenda, selain bakat baharu yang pantas mendaki tangga populariti.
Pentas ABPBH 35 bakal dihangatkan dengan persembahan Datuk Ramli Sarip; Datuk Yusni Hamid; Datuk Seri Siti Nurhaliza; Amelina; Aizat Amdan; Aina Abdul; Sufian Suhaimi dan Baby Shima.
Tidak ketinggalan, Roslan Madun, Haziq Rosebi, Luca Sickta, Kmy Kmo, Luqman Podolski, Aya Amiruddin dan Norreen serta kumpulan Mergasatwa.
Menambah debaran malam kemuncak ABPBH 35, majlis pengumuman pra-kemuncak ABPBH 35 yang berlangsung minggu lalu turut mengisytiharkan 10 artis yang setakat ini mendahului undian, sekaligus mempunyai harapan untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Sepuluh artis terbabit adalah Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Bell Ngasri, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.
Selain keputusan 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra! serta Bintang Paling Popular, malam kemuncak ABPBH 35 juga bakal menyaksikan dua bintang menerima trofi anugerah khas yang dibawakan khusus bagi edisi ke-35 acara anugerah berprestij ini.
Selain itu, sebagai elemen kejutan, peminat bakal disajikan satu lagi slot persembahan yang masih dirahsiakan.
Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH 35 menampilkan konsep yang berbeza kali ini sesuai dengan penganjurannya yang berusia lebih tiga dekad.
“Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, konsep ini akan diketengahkan dalam pengendalian acara malam kemuncak ABPBH 35 nanti.
“Kekal relevan sebagai acara hiburan pilihan peminat No 1 sejak 1987, acara ABPBH tahun ini memberi interpretasi terhadap usaha berterusan penggiat seni dalam menghasilkan karya tanpa sempadan, namun, tidak mengabaikan jati diri dan menjadikan bintang legenda serta artis ternama sumber inspirasi,” katanya.
Shamshul Azree berkata, selain menyanjung bintang legenda seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma, ABPBH 35 mengiktiraf bakat pelapis yang
meneruskan legasi seniman terdahulu dalam mengangkat martabat seni negara.
“Satu anugerah khas akan diberi kepada bakat pelapis yang mencipta kejayaan membanggakan buat negara sepanjang kembara seninya.
“Inisiatif ini diambil sebagai usaha ABPBH menyemarakkan pembangunan industri kreatif dan mendorong penggiat mewakili generasi muda meneruskan legasi seni sebagai khazanah negara yang tidak ternilai,” katanya.
ABPBH 35 menyenaraikan calon yang mematuhi syarat asas ditetapkan Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 termasuk penilaian Lembaga Juri ABPBH 35, membabitkan artis atau selebriti yang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk fizikal termasuk rakaman atau kandungan digital yang memenuhi kriteria mengikut kategori disaingi, bagi tahun pencalonan 2021 dan 2022.
Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak dua belas (12) Kategori Utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular; BBNU Wanita Popular; Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular; Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular; Aktor Filem Popular; Aktres Filem Popular; Aktor TV Popular; Aktres TV Popular; Penyampai Radio Popular; Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.
Turut dipertandingkan adalah tujuh (7) Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular; Couple Filem Popular; Drama Popular; Lagu Paling Boom; Content Creator Popular; TikTokers Popular dan Video Viral Popular.