editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Pernah dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7) serta membolot tujuh anugerah dalam kategori lain pada tahun 1987, filem seram pertama, Rahsia bakal tampil semula dengan versi reboot.

Jika dulu, filem berkenaan diarahkan oleh Othman Hafsham, versi reboot ini digalas pula oleh anaknya iaitu, Shamyl Othman.

Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Five Star Trading, filem ini dijadualkan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos ini. 

Rahsia adalah sebuah filem seram ikonik arahan Othman Hafsham telah berjaya melakar fenomena suatu masa dulu sekali gus mengangkat beliau sebagai Pengarah Terbaik FFM7.

Shamyl sebelum ini menghasilkan filem kegemaran ramai ‘Kami Histeria’ dan drama bersiri ‘Kau VS Aku’.  Manakala skrip adalah hasil oleh Creator drama premium One Cent Thief, Alfie Palermo. 

Shamyl berkata, idea untuk menghasilkan semula filem ini timbul pada tahun 2019 dan dia menyuarakan perkara itu kepada ayahnya.

“Apabila saya memberitahu ayah idea untuk menghasilkan semula filem ini ayah menyokong penuh tanpa memberi apa-apa tekanan kepada saya.

“Mengenai penghasilan filem ini, saya tidak mengikut 100 peratus naskhah asal tetapi kami ambil kisahnya sebagai inspirasi.

“Setiap kisah saya sampaikan dalam plot yang berbeza dan saya tampilkan juga watak baharu dimana karakter ini tidak ada dalam filem asal,” katanya.

Katanya lagi, dia mahu peminat tahu filem ini bukanlah sekuel daripada filem asal tetapi filem yang diceritakan semula mengikut versi dan plot terkini.

Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular.

Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda.

Sementara itu, Nabila Huda berkata, meskipun pada awal dia risau dan takut orang akan membandingkan wataknya dengan Noor Kumalasari dia berharap penonton berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.

“Saya memang takut pada awal apabila dibandingkan nanti, namun saya yakin kepercayaan yang diberikan oleh produksi dan saya banyak membuat kajian mengenai filem ini bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Apabila pengarah dan produksi berpuas hati saya gembira dan lega. Selama di set penggambaran saya tidak berbual dengan sesiapa demi memberikan yang terbaik untuk watak Ramlah ini,” katanya.

Selain itu, watak Hamdan lakonan Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim.

Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester. 

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful.

Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.

Sementara itu, Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.

Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka terbabit sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.

Rahsia membawa tagline ‘Dia Takkan Pergi’. Manakala, lagu bertajuk ‘Alunan Lara’ adalah lagu tema rasmi Rahsia dan dinyanyikan oleh Njwa.

Njwa yang juga komposer dan lirik untuk lagu edaran Rocketfuel Entertainment ini. 

Istimewa buat peminat dan penonton, mereka  boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ bermula 9 Ogos dengan tayangan pertama bermula 8.00 malam.

Sertai peraduan filem Rahsia di platform sosial media Astro Shaw dan Astro Gempak bermula 10 Ogos untuk memenangi hadiah eksklusif.

Ikuti Broadcast Channel Astro Shaw untuk dapatkan info dan kata petunjuk. 

Nantikan filem Rahsia yang akan menemui penonton 10 Ogos di pawagam seluruh negara. Gunakan #Rahsia #Rahsia2023 untuk berkongsi video atau ciapan di media sosial.

By Cynthia

Leave a Reply