editor@aatvnews.com
Taiwan! Negara yang belum pernah terlintas dalam fikiran penulis untuk dikunjungi.
Namun begitu, selepas sering mendengar mengenai kecantikan dan keindahan negaranya hati terdetik untuk berkunjung.
Pengalaman pernah ‘transit’ di lapangan terbang Taiwan beberapa tahun lalu turut menguatkan rasa ingin menjejaki negara yang pernah dijajah oleh Jepun itu.
Ini kerana, beberapa teman penulis yang transit, sempat berjalan seharian dan mengunjungi Menara Taipei 101 di Taiwan, banyak cerita menarik yang mereka kongsikan dan mengujakan.
Justeru, apabila berpeluang menjejaki kaki mengikuti rombongan Salam Taiwan di bawah Biro Pelancongan Taiwan dalam usaha mempromosikan Muslim Taiwan, hati terpaut dengan kecantikan dan kebersihan negara berkenaan.
Walaupun penat dengan jadual yang padat, penulis setuju dengan kata-kata teman itu Taiwan adalah negara yang perlu dilawati walaupun sekali.
Islam mengajar kita erti kebersihan dan begitu juga negara ini yang kelihatan bersih di mana-mana tempat penulis lawati.
Perjalanan lima hari empat malam menjelajah beberapa daerah dan negeri di Taiwan menarik perhatian penulis akan kebersihan yang sangat terjaga di sana.
Tidak perlu risau untuk ke tandas, paling mengujakan penulis hentian R&R (rehat dan rawat) mereka jauh lebih menarik dan tersusun.
Terasa bagaikan berada di mini pusat beli belah setiap kali singgah di R&R mereka.
Pelbagai kafe, restoran, kedai serbaneka menarik yang membuatkan perjalanan di hentian lebih selesa dan nyaman.
Tidak perlu risau jika anda ingin berkunjung ke negara ini apatah lagi datang membawa keluarga, Taiwan salah satu negara yang perlu ada dalam list untuk dikunjungi bersama insan tercinta.
Pengalaman berjalan ke pasar malam atau ‘night market’ selama tiga malam di tiga tempat yang berbeza juga menyenangkan.
Penat itu perkara biasa, tetapi melihat suasana dan sikap rakyatnya membuatkan kita tidak perlu risau untuk berjalan di tempat orang ramai dan sesak seperti itu.
Namun begitu, sebagai pelancong ke mana sahaja negara kita pergi dan lawati, perlulah sentiasa berhati-hati dan menjaga barangan peribadi.
Pengalaman pergi ke ‘night market’ ini mengingatkan penulis akan malam terakhir kami berjalan lagi mencari ‘night market’ yang berada di Taichung.
Kami berjalan kaki dari hotel kami, Stay Hotel yang terletak di Zhongqing Road ke Yizhong Street Night Market, Taichung yang mengambil masa hampir setengah jam perjalanan pergi sahaja akibat kerap tersesat.
Memang penat terasa kaki hendak diseret ke jalan dan makin terasa sakit apabila hendak pulang ke hotel disebabkan terlalu lama berjalan-jalan cuci mata dan cuci duit di ‘night market’ berkenaan.
Apa yang melegakan penulis, sepanjang perjalanan pergi dan pulang ke ‘night market’ itu, keadaan dan suasana selamat.
Malah ketika berjalan di satu pasar basah, pada mulanya penulis agak bimbang dengan bau-bauan apatah lagi terlihat potongan daging khinzir di salah satu kedai, hati mula risau.
Tetapi sangkaan penulis meleset, sepanjang jalan di lorong pasar itu keadaan sangat bersih dan barang-barang tersusun rapi.
Malah bau yang merisaukan itu sedikit pun tidak mengganggu deria dan hidung penulis.
Kagum melihat keadaan pasar yang bersih pada waktu malam, berbeza di sesetengah tempat kita hendak lalu sahaja mahu rasa termuntah.
Dalam suasana malap dan kurang jelas hati masih risau bimbang sambil berjalan diragut atau perkara tidak baik berlaku, tetapi sangkaan penulis meleset.
Semua yang dirasakan itu hanyalah perasaan risau semata-mata. Apa yang dapat penulis katakan sepanjang perjalanan siang mahu pun malam selama di Taiwan, hati penulis rasa tenang dan nyaman.
Apatah lagi, penampilan penulis yang berhijab, melihat sikap orang-orangnya juga sangat menghormati golongan seperti kami.
Tiada diskriminasi tetapi lebih kepada rasa hormat dengan kehadiran pelancong dari luar terutamanya mereka yang bergelar muslim dan Islam.