SHAH ALAM – Syarikat ERBE World, CTOS Data Systems Sdn Bhd dan CelcomDigi mengumumkan kerjasama strategik bagi menambahbaik lanskap perkhidmatan kewangan negara menerusi aplikasi LULUS yang akan dilancarkan pada November depan.
Kerjasama tiga entiti itu adalah langkah besar ke arah mengintegrasikan teknologi terkini dan kepakaran industri dalam menyediakan perkhidmatan kelayakan pinjaman lebih tepat, cekap, dan mudah diakses kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif ERBE World (ERBE World Holding), Datuk Muhmmad Amir Abdullah berkata sebagai penyedia Perbankan Sebagai Perkhidmatan (BaaS) terkemuka, pihaknya bertanggungjawab dan mengambil serius dalam memastikan integriti dan keselamatan data pelanggan pada aplikasi LULUS.
“Dengan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan CelcomDigi dalam industri telekomunikasi serta kepakaran CTOS dalam penilaian kredit, bersama ERBE World melalui aplikasi LULUS menyediakan pelanggan kepada akses data yang luas dan laporan kelayakan pinjaman disediakan adalah tepat, boleh dipercayai.
“LULUS akan bekerjasama dengan syarikat fintech, biro kredit, dan institusi kewangan, yang akan membolehkan kami meluaskan
jangkauan dan mempelbagaikan tawaran produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara ERBE World, CTOS Data Systems Sdn Bhd, dan CelcomDigi, disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, di Hotel Double Tree, di sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin; Ketua Pejabat SME Perniagaan Enterprise CelcomDigi, Steven Soon Kok Leng; Ketua Pejabat Kolaborasi & Rakan Kongsi SME Perniagaan Enterprise, CelcomDigi, Azman Ramli; Pegawai Perniagaan Enterprise CelcomDigi, Afizulazha Abdullah; dan Pengasas juga Ketua Pegawai Operasi LULUS, Mohd Hasrul Syafiq Mohd Ismail.
Beliau menambah, kerjasama itu membabitkan institusi kewangan termasuk 21 bank, lima bank digital, koperasi kredit, dan syarikat pinjaman yang akan memberi manfaat kepada rakyat melalui BaaS LULUS.
Sementara itu, Eric Chin, berkata, misi CTOS adalah untuk membantu memperkasakan individu dan perniagaan dalam membuat keputusan kredit yang kukuh dan yakin.
“Perkongsian strategik kami dan Erbe akan membolehkan kedua-dua pihak membantu individu mendapatkan akses kepada pembiayaan serta membolehkan mereka mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Kerjasama ini dijangka memperkuat daya saing Malaysia sebagai pusat kewangan serantau, menarik lebih banyak pelaburan, dan memperkuat ekosistem perniagaan negara secara keseluruhan,” katanya.
Afizulazha pula berkata, CelcomDigi bersama LULUS dan CTOS, sambil terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME) dalam menjalankan transformasi digital perniagaan mereka.
“Penting bagi usahawan mempunyai akses kepada penyelesaian digital dan ketersambungan yang akan
membolehkan mereka meningkatkan kecekapan operasi, memperluas perniagaan mereka, dan kekal bersaing,” katanya.