editor@aatvnews.com

ALOR SETAR, 9 Ogos – Dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan akan berubah sekiranya enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dimenangi Perikatan Nasional (PN), tidak akan berlaku kerana PRN hanya membabitkan kerusi DUN sahaja.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dakwaan itu hanya percubaan untuk mengelirukan pengundi.

Jelas beliau, banyak tuduhan tidak benar dibuat ke atas kerajaan Persekutuan sedangkan pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dirasai di negeri yang pentadbirannya sama di peringkat Persekutuan.

“Apa yang kerajaan Persekutuan umumkan seperti di bawah kluster ekonomi, pembangunan dan kebajikan sebenarnya sedang dilakukan, tapi kerana ia baharu bergerak dalam lapan bulan ini, kesannya tidak dapat dilihat secara keseluruhan.

“Di Kedah kalau kita dapat selarikan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, maka faedah itu dapat dirasai lebih cepat sama seperti di negeri (ditadbir Kerajaan Perpaduan) dan kita boleh laksanakan dengan lebih baik lagi.”

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, kerajaan sudah mengambil kira kemampuan kewangan sebelum mengumumkan kenaikan itu bermula hari ini.

“Saya fikir bukan ada masalah sama ada musim pilihan raya atau di luar pada pilihan raya, sebab sesuatu yang baik untuk rakyat ini tak semestinya datang pada waktu tertentu sahaja, tapi kalau kebetulannya masa pilihan raya apa salahnya.

“Saya ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana umum satu lagi faedah yang dinikmati petani dalam penanaman padi kerana Kedah sebagai Jelapang Padi memiliki kira-kira 66,000 ketua keluarga meliputi kawasan MADA dan di luar kawasan itu,” katanya.

Leave a Reply