PETALING JAYA – Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor mengumumkan keluar daripada partinya berkuatkuasa serta merta hari ini.
Pengumuman Anuar dibuat di atas pentas ceramah Pakatan Harapan (PH), atas usaha Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang telah mengadakan pertemuan sebelum itu.
Dr Sathia yang juga Penyelaras Parlimen Hulu Selangor telah menawarkan Anuar untuk menyertai PH dan membawanya ke atas pentas anak muda yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Anuar juga mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam Bersatu.
“Saya letak jawatan hari ini pukul 4 petang selepas berfikir panjang sebab apa yang dilakukan kepada saya tidak munasabah dan tidak masuk akal.
“Tidak berlaku mana-mana parti.. apa yang berlaku kepada saya. Jadi apa yang berlaku ini adalah ‘setting’ daripada geng-geng kartel ini membuatkan saya menjadi pening,” katanya ketika berucap dalam pentas anak muda PH Hulu Selangor.
Anuar juga meminta ahli Bersatu untuk menyokong calon BN.
Beliau juga berkata calon Perikatan Nasional (PN)
di Hulu Selangor juga tidak dikenalinya.
“Ini saya pun tak kenal dia datang dari mana. Di Batang Kali Bersatu tak terima dia.. tak kenal dia.
“Jangan mudah tertipu dengan momokan tiktok yang berlaku dari PN semua bohong,” katanya.