SEREMBAN – UMNO memerlukan lebih masa untuk menjelaskan kepada akar umbi berhubung kerjasama dengan DAP dan bukannya dengan mendesak presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab meletakkan jawatan.
Naib Ketua UMNO bahagian Seremban, Mohd Asna Amin yakin jika partinya diberi masa untuk jelaskan kepada akar umbi sudah tentu mereka akan memahami kerjasama yang dilakukan.
“Sebenarnya bukan akar umbi tolak UMNO. Cuma akar umbi masih tidak faham kenapa UMNO bergabung dengan DAP.
“Baru lapan bulan memang tidak cukup masa nak terangkan (pada akar umbi UMNO),” katanya.
Asna yang juga ADUN Lenggeng turut membidas desakan supaya Zahid bertanggungjawab dan meletak jawatan susulan keputusan PRN di enam negeri kelmarin.
Pada PRN itu, UMNO mencatatkan prestasi buruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.
Dalam pada itu, Asna berkata sekiranya beliau mempunyai masa yang lebih di DUN Lenggeng sudah pasti akan mendapat majoriti lebih besar.
“Misalnya di DUN Lenggeng merupakan kerusi panas yang mungkin BN kalah.
“Saya ada masa dua minggu sahaja untuk jelaskan kepada akar umbi dan saya sempat jelaskan,” katanya.
Asna berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Fadli Che Me di Lenggeng dengan mendapat 10,040 undi berbanding lawannya 9,355 undi.
Tambah Asna, penjelasan kerjasama antara UMNO bukan perlu dilakukan di media sahaja.
“Tidak boleh hanya presiden UMNO sahaja jelaskan.
“Mesti satu pasukan pergi buat penjelasan. Sudah 20 tahun doktrin sanubari akar umbi UMNO DAP ini musuh itu… musuh ini.
“Baru lapan bulan memang tak cukup masa nak terangkan,” katanya