KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa untuk tidak menyalahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata tanggungjawab itu perlu dipikul oleh semua pemimpin parti itu.
“Kenapa perlu salahkan kepada presiden. Sebenarnya kekalahan atau keputusan teruk kita kena sama-sama tanggung.
“Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), pengerusi badan perhubungan, dan ketua-ketua bahagian.
“Jangan ada sifat menunding jari. Keputusan PRN, kita terima dan mesti hormat.. jangan sampai tahap nak hukum presiden seorang sahaja,” katanya.
Sebelum ini, terdapat desakan supaya Zahid bertanggungjawab dan meletak jawatan susulan keputusan PRN di enam negeri.
Pada PRN itu, UMNO mencatatkan prestasi buruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.
Gulam yang juga Ketua Umno Bahagian Batu berkata sebenarnya keputusan PRN baru-baru ini juga menunjukkan tanda positif dan kebijaksanaan Zahid.
Katanya, tiga negeri sebelum ini Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tetapi kini telah menjadi kerajaan.
“Mana lebih baik. Jadi kerajaan atau pembangkang.
“Kenapa tak cerita benda positif kepimpinan Zahid. Politik ini dinamika.. tidak semestinya ada angka banyak kamu akan jadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata tidak masuk akal jika lihat angka kerusi BN sedikit tetapi menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Katanya, inilah kebijaksanaan kepimpinan Zahid.