KUALA LUMPUR – Golongan wanita hari ini sudah merdeka dengan erti kata lain mampu berdikari dengan membina pendapatan sendiri dan keluarga, membantu menjana ekonomi negara malah mencipta nama di persada dunia.
Sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-66, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd (Usanita), Datuk Adzliana Hasan menghargai golongan wanita hari ini dengan menyifatkan sudah merdeka dalam pelbagai aspek.
“Kemerdekaan bermaksud satu kebebasan yang mana negara sudah mencapai kemerdekaan dari aspek pembangunan, ekonomi dan perpaduan. Malah golongan wanita hari ini juga sudah ‘merdeka’ apabila mampu berdiri di atas kaki sendiri (berdikari).
“Bagi saya, itu adalah satu kemerdekaan buat wanita apabila dapat membantu membangunkan ekonomi negara selain mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hari ini wanita juga mampu berjaya, berdikari, berdedikasi dan gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Edaran 10,000 bendera Malaysia, Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2023, di pekarangan Bukit Bintang, hari ini.
Terdahulu, beliau melepaskan belon sebagai simbolik perpaduan dan kemerdekaan negara, bersama Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan Hot FM, Kool 101 dan Digital, Shah Hayatudin yang bertindak sebagai rakan strategik.
Majlis bermula sekitar jam 9 pagi turut dimeriahkan oleh Usahawan Perintis Usanita, selain persembahan ‘busker’, aktiviti Like & Win, dan pemberian 500 batang aiskrim Malaysia secara percuma dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.
Beliau menambah, cadangan program itu tercetus sebaik tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 diumumkan iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
“Kami tampil dengan inisiatif mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung di Bukit Bintang sebagai langkah kecil untuk menanam rasa kecintaan kepada negara tercinta,” katanya.
Sementara itu, mengulas kolaborasi bersama rakan strategik bersama stesen radio Kool 101, Adzliana berkata Kool 101 bertindak sebagai medium penting dalam menyampaikan peranan, inisiatif, misi dan visi kerajaan kepada masyarakat dalam segala bidang termasuk keusahawan.