KUALA LUMPUR – Bekas ratu cantik Mrs International World 2018, Datin Narena Nasrudin menasihatkan wanita khususnya bergelar ibu supaya sentiasa mempunyai sifat keinginan untuk kelihatan cantik, yakin dan menyerlah.
Wanita anggun dan tinggi lampai berusia 46 tahun itu percaya setiap manusia tidak dilahirkan buruk, sebaliknya mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri terutama wanita.
Tidak lokek berkongsi petua, Narena menyarankan wanita di luar sana supaya tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang sebaliknya berusaha untuk meningkatkan kualiti diri untuk tampil cantik, yakin dan berilmu.
“Sebenarnya dalam hidup kita, kalau kita nak jadi apa pun, kita kena cari. Nak atau tak saja. Badan saya pun bukan turun dari langit terus cantik. I mengikat badan I. Kita berusaha nak jadi apa, percaya dengan kebolehan you, memang boleh jadi.
“Semua perempuan, saya percaya ada kelebihan masing-masing. Kita tengok satu perempuan hidung dia, mata dia, mulut dia cantik, tapi itu keunikan dia.
“Setengah orang malas nak bersiap, sampai suami tengok di rumah tak lalu. Bukan sebab kita tak cantik atau lawa, tapi sebab tak ada sifat keinginan nak jadi sempurna,” katanya ketika ditanya mengenai wanita hari ini.
Narena berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama LenaDale Skincare dan Mrs Malaysia International Global Top Finalis 2023, di ParkRoyal Collection Garden Ballroom, Bukit Bintang, baru-baru ini.
Majlis berkenaan membariskan 15 finalis wanita sudah berkahwin, dipilih ke peringkat separuh akhir pada Januari 2023/24 sebelum mewakili Malaysia bersaing dengan 35 negara bagi merebut mahkota Mrs International Global 2024 World Final, pada Mac tahun depan.
Selain produk penjagaan kulit, program itu ditaja ArenaNina World, butik gaun busana milik Narena dan The RV Royal Jewelry, penyedia barang kemas.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LenaDale, Meiko; dan Ketua Pegawai Eksekutif Mrs Malaysia International Global, Sharon Too.
Narena yang juga pemegang takhta Mrs South East Asia 2017 dan Mrs Beauty of Asia 2018 berkata kebanyakan ibu tunggal juga suka merungut dan ia sedikit sebanyak menjadi punca untuk sukar bangkit.
“Kita boleh cari bantuan dengan cara kita berusaha. Memang susah tetapi kalau kita terus meratapi nasib dan sedih kita tak boleh bangun.
“Cuba keluar dari kelompok kesedihan, fikir apa yang patut you buat benda berfaedah, sebab kalau tak ada kerja, anak nak kena makan, dapur tak berasap,” kata anak jati Pulau Pinang yang turut mengusahakan rangkaian perniagaan edaran korset sejak 18 tahun lalu.
Mengulas mengenai isu kesihatan mental, ibu kepada empat cahaya mata itu sempat berseloroh terpaksa menangguhkan keinginan untuk menangis kerana menganggap ia perkara terakhir untuk dibuat.
“Kebanyakan ‘depression’ sebab dia suka melayan perasaan. Tak mungkin ada manusia tak ada masalah tetapi saya sampai tangguh rasa nak menangis.
“Ini bukan main-main dan lawak ya, ini sungguh-sungguh. Tak ada masa nak menangis hari ini, mungkin hari Ahad menangis.
“Sebab kehidupan terlampau sibuk, banyak kerja nak fikir dulu. Cuba divert otak eh tak jadi menangislah sebab ada banyak kerja nak buat,” kata ahli Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati).