KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggesa gencatan senjata segera dilakukan bagi menghentikan peperangan antara Israel dan Palestin yang merugikan semua pihak.
Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari berkata semua pihak perlu berusaha kembalikan kedaulatan kepada Palestin dengan kadar segera.
“Saya sebagai seorang wanita dan ibu, saya mewakili wanita Malaysia amnya wanita UMNO menyeru supaya gencatan senjata dapat dihentikan dengan kadar segera.
“Saya mohon supaya semua pihak dapat membantu untuk hentikan perang antara Israel dengan Palestin. Jangan biarkan ia berlarutan kerana lihat dalam berita ribuan orang meninggal dunia. Kebanyakan jadi mangsa adalah kanak-kanak dan wanita,” katanya kepada AATV News.
Pada masa sama, Rosni berkata masa ini semua badam bukan kerajaan (NGO), semua negara dan semua parti politik tanpa mengira telah menyatakan pendirian mereka berkenaan isu Palestin.
Beliau berkata ini kerana isu Palestin bukan isu politik sebaliknya ia melibatkan kemanusiaan.
“Ini kerana dapati tindakan Israel kepada Palestin adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Jadi kita sekarang ini, menunggu terutama negara Arab, pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mereka dapat desak Israel hentikan serangan ke atas Palestin,” katanya.
Sementara itu, Rosni berkata serangan Israel tidak sepatutnya berlaku kerana mereka serang tidak kira tempat sehingga di hospital.
Katanya, hospital merupakan kawasan paling selamat dan Israel melakukan serangan di kawasan itu.
“Bom sekolah-sekolah mereka. Pada saya ini satu tindakan tak boleh terima dan tak masuk akal.
“Diluar kemampuan kemanusiaan yang boleh kita fikirkan. Jadi kita umat Islam seluruh dunia dan malah rakyat keseluruhan mengutuk tindakan Israel,” katanya.
Israel tanpa henti membedil Gaza sebagai balasan atas serangan terburuk dalam sejarah negara itu.