editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR, 26 November 2023 – Seramai 28 orang terdiri daripada 23 pelajar dan 5 pensyarah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang telah berlepas ke China bagi menyertai “Malaysia-China Youth TVET Training” dalam bidang Automotive Electric Vehicle (EV). Mereka akan menjalani latihan peningkatan kemahiran ini di Yunnan Vocational Institute of Energy Technology selama dua (2) minggu bermula 26 November hingga 11 Disember 2023.
Inisaitif ini digerakkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dengan kerjasama TANG International Education (China) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) sebagai salah satu program institusi TVET untuk memastikan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi TVET negara dapat dicapai.
Majlis pelepasan yang di adakan di KLIA 2 pagi tadi di sempurnakan oleh YB Manndzri Hj Nasib, Ahli Parlimen Tenggara merangkap Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB). Turut hadir sama ialah Ybhg. Ts. Zainab binti Othman (Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti) dan Ybhg Ts. Mohd Zulkefli Bin Ibrahim (Pengarah PSAS).
Delegasi ini adalah di kalangan pelajar empat (4) Program Diploma di PSAS (Kejuruteraan Mekanikal, Automotif, Mekatronik dan Pembuatan) yang menjadi kumpulan pertama dan perintis dari kalangan seluruh Politeknik dan Kolej Komuniti yang ada di Malaysia. 5. Usaha ini juga sebagai persediaan menyokong pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjung Malim di mana PSAS selaku institusi TVET tinggi yang berdekatan perlu memainkan peranan aktif menyediakan tenaga mahir untuk keperluan industri setempat.
Kerjasama ini juga adalah menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara) semasa mesyuarat dua hala bersama Naib Presiden China Han Zheng pada 9 November lalu di Kuala Lumpur agar pelajar TVET di semua peringkat merebut peluang peningkatan kemahiran di China melalui inisiatif Belt & Road Initiative (BRI).
Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) akan terus memainkan peranan utama bagi membantu Kerajaan dan institusi TVET di Malaysia bagi tujuan pengantarabangsaan belia berkemahiran TVET dengan harapan akan meningkatkan kebolehpasaran dan juga kadar gaji yang lebih tinggi selaras dengan kemahiran penguasaan teknologi yang diperolehi di China.