KUALA LUMPUR – UMNO buat masa ini tidak boleh bergerak sendiri dan mesti menjadi agen kepada kerajaan perpaduan, kata Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Beliau berkata langkah itu untuk memastikan parti memberi kefahaman kepada akar umbi mereka mengenai tindakan bekerjasama dalam kerajaan perpaduan yang turut dianggotai parti-parti Pakatan Harapan (PH).

“Kenapa kerajaan perpaduan ini terbentuk dan dalam masa setahun ini, rakyat mesti betul-betul faham,” katanya kepada AATV News.

Bibi Sharliza berkata walaupun sebagai ahli parti UMNO akur keputusan dibuat oleh pengundi di Kemaman, tetapi berpandangan partinya perlu menukar strategi lain.

“Bagaimanapun kita telah setuju diperingkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO atau mesyuarat wanita UMNO untuk memperkukuhkan parti dan juga kita menukar sedikit strategi parti untuk lebih terkesan kepada rakyat.

“Ini kerana ada pengundi tak keluar undi. Bukan (kita) kalah sebab pengundi tak pilih BN tetapi pengundi tak keluar mengundi.

“Kalau keluar undi kita kalah, itu lain. Ada banyak subjek kita kalah antaranya orang UMNO tidak keluar undi dan pengundi tegar tak undi kita lagi, katanya.

Sementara itu, Bibi Sharliza berkata gerak kerja UMNO di kawasan masing-masing juga perlu diperbaharui.

Katanya, bukan sahaja dari segi keahlian tetapi dari segi pemahaman.

“Semasa di PRK Kemanan, ada Wanita UMNO kesan cari pengundi.

“Lihat mata saya sendiri, Wanita UMNO gerak di setiap rumah. Walaupun ada kelemahan parti tetapi kelemahan mesti ada jalan penyelesaian,” katanya.

Keputusan PRK Kemaman pada minggu lalu menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Raja Mohamed Affandi dengan 27,778 undi.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Leave a Reply