KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (“Su.Re Sihat KL”) melancarkan Kempen ‘Lose to Win’ hari ini bagi memerangi obesiti di Malaysia.
Presiden, Su Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf berkata obesiti kini bukan lagi dilabel sebagai penyakit negara dan isi rumah berpendapatan tinggi.
“Dahulu kita menganggap orang menghidap obesiti akibat makan secara keterlaluan.
“Hari ini, anda pasti terkejut apabila mengetahui bahawa golongan B40 dan asnaf yang berpendapatan rendah juga boleh menghidap obesiti akibat faktor lain seperti kekurangan makanan berkhasiat, suasana bertekanan tinggi, genetik, kualiti hidup yang rendah dan banyak lagi,” katanya di The Linc KL.
Lapor media, mendapati Malaysia telah menduduk tangga pertama obesiti di Asia Tenggara dan tangga kedua secara global.
Badan bukan kerajaan tersebut berazam untuk menumpukan sumbernya dalam meningkatkan kesedaran terhadap epidemik tersebut.
Shameem berkata Su Re Sihat KL akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen itu untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain.
“Kami mahu mengubah kehidupan individu tersebut supaya mereka boleh meneruskan pekerjaan mereka untuk menampung ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau juga berharap apabila kempen ini dapat diteruskan dengan penyertaan rakankongsi korporat, lebih ramai individu menghidapi obesiti dapat menikmati programpengurusan obesiti ini secara percuma.
Dalam jangka panjang, kempen ini akan mengubah lanskap kesihatan di Malaysia apabila semakin ramai orang awammenjadi lebih aktif dalam meningkatkan gaya hidup mereka.
Program prosedur kesihatan tersebut termasuk pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar tersohor di Asia Pasifik dalam bidang saluran gastrousus atas (“upper gastrointestinal”) dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (“CENGILD”).
“Prosedur bariatrik bukan lagi dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya prosedur penjagaan kesihatan profesional yang menawarkan penyelesaian yang baik untuk obesiti.
“Dari situ, pesakit obesiti akan dibimbing dengan program kesihatan yang lengkap untuk memastikan mereka pulih dengan cepat dan boleh meneruskan pekerjaan masing-masing secara lebih produktif untuk menyara keluarga mereka,” katanya.
Pemilihan calon-calon untuk Kempen ‘Lose to Win’ Su.Re Sihat KL ini akan disaring daripada pencalonan yang dihantar oleh komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang.
Pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas akan diberikan keutamaan selepas lulus ujian klinikal untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan bariatrik.
Pesakit diabetes jenis 2, darah tinggi dan gangguan tidur (“sleep apnea”) juga boleh menjalani prosedur tersebut.
Semasa pelancaran Kempen ‘Lose to Win’ tersebut, penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Aishah dan Datin Alyah turut dijemput untuk berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan bawah pemantauan Dr Mustafa untuk meningkatkan kesihatan dan gaya hidup mereka.
Kempen ‘Lose to Win’ ini akan menjadi salah satu tonggak utama bawah Su.ReSihat KL sebagai usaha mendukung inisiatif kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat di Malaysia.
Sebelum ini sejak ditubuhkan pada tahun 2019, Su.Re Sihat KL telah menganjurkan pelbagai acara mengumpul dana untuk menyokong agenda kesihatan lain termasuklah kanser dalam kalangan kanak-kanak dan mempromosikan aktiviti sukan dan riadah seperti Quidditch, gusti dan zumba untuk kanak-kanak.