KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memberi sumbangan khas kepada enam orang warga Kuala Lumpur yang kurang berkemampuan dan miskin.
Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Batu hari ini.
Turut hadir menyerahkan bantuan tersebut wakil dari Tahap Warisan, Tong Kim Eng dan Syarikat Arcadin Services Sdn Bhd, Khairul Anuar Azmi.
Enam penerima sumbangan khas itu adalah dua daripadanya dari Perumahan Awam (PA) Sri Kelantan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin (2), Kampung Puah Lembah (1) dan satu dari Flat Taman Wilayah Selayang.
Penerima yang menerima bantuan antaranya merupakan pekerja Grab Food dan memerlukan bantuan berikutan baru terlibat kemalangan yang mengakibatkan motosikal rosak dan tidak dapat bekerja kerana kecederaan.
Muhammad Amsyar Chin yang menerima bantuan itu juga memerlukan bantuan berikutan isterinya yang sedang sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Isterinya juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak menerima apa-apa bantuan lain.
Penerima lain, Norriza Amat pula yang merupakan ibu tunggal memerlukan bantuan berikutan menanggung dua anaknya yang bersekolah. Selain itu beliau juga menghidapi penyakit kencing manis dan Hiperkolestrolemia.
Sementara itu, Prabakaran berharap bantuan diberikan itu dapat meringankan beban semua penerima dan memberi peluang baik untuk mereka mencari rezeki dan pendapatan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada YWP. Ini satu cara NGO untuk membantu masyarakat yang menghadapi kos sara hidup tinggi.
“Terima kasih juga Baitulmal bantu bersama. Saya harap usaha ini akan berterusan untuk bersama-sama dengan pelbagai inisiatif dan bantuan untuk diberikan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.