editor@aatvnews.com

Oleh : Shahbudin Embun

DALAM dunia politik, tahun 2023 menyaksikan pelbagai peristiwa signifikan yang berlaku. Dan antara topik yang masih hangat pada tahun 2024 ialah adakah UMNO masih lagi relevan.

Ramai pemerhati politik menegaskan yang kedudukan UMNO hari ini berada di tahap paling merudum. UMNO memerlukan masa untuk kembali bangkit setelah mengalami beberapa kekecewaan yang berlarutan.

Sebenarnya perkara ini bukanlah sesuatu yang baru diramalkan. Mungkin ada yang masih ingat tulisan wartawan dan penulis, Pak Husin Yaakob atau dikenali dengan nama penanya Ibnu Muslim, yang pernah menjadi wartawan di Utusan Melayu dan mencipta nama di hujung kerjayanya sebagai kolumnis di Harakah.

Pak Husin telah menulis sebuah buku yang bertajuk ‘BN Akan Berkubur’ semasa gerakan reformasi berada di zaman kemuncak pada tahun 1998 dan 1999.

Saya bernasib baik dapat mengenali Pak Husin yang  ketika itu turut juga bersama dengan Arwah Pak Din Gayung, seorang lagi aktivis tegar reformasi. 

Saya masih ingat lagi pada satu ketika, kami berada di tengah-tengah lautan manusia semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Masjid Negara.

Menurut Pak Husin, dalam sejarah hidupnya yang penuh dengan pelbagai pengalaman, beliau tidak pernah melihat lautan manusia yang dianggarkan lebih 250,000 berkumpul di Kuala Lumpur ketika itu. 

Apa yang disaksikan oleh Pak Husin menambahkan keyakinan beliau bahawa UMNO dan BN akan berdepan dengan gerakan rakyat yang sangat berkuasa dan mampu mengubah sejarah. 

Kami juga dapat melihat sendiri bagaimana orang ramai yang berada di Masjid Negara ketika itu, terpegun dengan kehebatan Anwar menaikkan semangat melalui laungan reformasinya. 

Tidak dapat dibayangkan betapa gembiranya Pak Husin dan Pak Din sekiranya mereka berpeluang dapat melihat Anwar akhirnya diberi kepercayaan memimpin negara sebagai Perdana Menteri yang ke-10. 

Kami sempat memberikan buku ‘BN Akan Berkubur’ kepada Anwar, yang ketika itu baru keluar dari penjara.

Ketika buku itu ditulis, UMNO dan BN masih berada di puncak kejayaan dan pastinya tidak ramai yang percaya bahawa satu hari nanti kedudukan UMNO dan BN akan tergugat. Tidak keterlaluan jika dikatakan, pada masa itu adalah sesuatu yang mustahil untuk melihat UMNO dan BN jatuh.  

Namun sejarah telah membuktikan sebaliknya. 

Tidak cukup dengan itu, terdapat pula usaha untuk terus mengharamkan UMNO.

UMNO benar-benar berada di hujung tanduk, apabila dipercayai, surat untuk membatalkan UMNO ketika itu sudah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri yang ketika itu diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Mujurlah ada tangan ghaib yang bertindak pantas sebelum UMNO dilenyapkan dari persada politik tanah air. Bahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan semasa Perhimpuan Agung UMNO bahawa cubaan untuk mengharamkan parti itu tidak menjadi kenyataan kerana ‘diselamatkan’ oleh seseorang.

Pada hari ini kita sedia maklum, bahawa Anwar merupakan “seseorang “ yang dimaksudkan itu. 

Dan hari ini UMNO berdepan dengan satu cabaran yang sangat besar. Jika tidak ada usaha konkrit yang dilakukan, maka benarlah seperti yang diramalkan oleh kebanyakan pemerhati politik, bahawa  UMNO akan berkubur dan menemui peperangan Waterloo nya pada pilihan raya umum akan datang. 

Itu sebabnya apa yang disarankan oleh Anwar perlu diberikan perhatian yang sangat serius oleh semua ahli UMNO. 

Anwar telah menasihati UMNO untuk kerap turun padang bertemu dengan ahli akar umbi dan rakyat untuk memberi penjelasan tentang pelbagai isu khasnya mengenai hubungan baik dengan DAP.

Dengan penjelasan yang lengkap, UMNO mampu memulihkan parti itu daripada terus merosot. 

Perlu diingatkan juga bahawa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) semakin hampir dan kerja turun padang tidak boleh ditangguh lagi. Ia perlu dibuat segera supaya UMNO terus relevan. 

Inilah masanya cawangan dan bahagian UMNO yang kecundang dengan pukulan KO untuk bangkit dan menawan semula hati orang muda khasnya. 

Saya ingin bertanya apakah program yang sudah diatur untuk menambat semula hati rakyat pada UMNO. Jangan ditunggu pilihan raya, baru hendak sibuk membuat forum, konvensyen serta pelbagai program lain. Mungkin ketika itu sudah terlambat. 

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan usaha musuh yang terus berusaha untuk melenyapkan UMNO. Salah seorang  pemimpin BERSATU pernah menegaskan bahawa objektif penubuhan Bersatu untuk menggantikan UMNO telah tercapai, selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU15. 

Apa lagi ditunggu, kini masanya untuk UMNO bertindak. 

Leave a Reply