editor@aatvnews.com
ALOR SETAR, 4 Januari – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin hari ini dalam satu kenyataannya menyelar YAB Menteri Besar Kedah dengan mengatakan bahawa kenyataan kerajaan akan tumbang oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah perkara yang memalukan diri.
“Sanusi seperti biasa cubaan mencapai KPI bulanan dengan melakukan adegan adegan memalukan diri di hadapan khalayak umum. Kali ini, Sanusi dengan penuh berani dan yakin cakap kerajaan akan tumbang.”
“Sanusi ni sebenarnya dia takut dengan bayang bayang PN sendiri, mereka sedar mereka semakin hilang sokongan, jadi mereka jadi tak tentu arah dan malu dengan penyokong mereka.”
Beliau turut menambah setelah 145 hari berlalu semenjak Pilihanraya Negeri (PRN), rakyat sudah bosan dan tidak mahu lagi mendengar ‘countdown’ yang dilakukan oleh Perikatan Nasional malah sokongan kepada YAB Perdana Menteri semakin hari semakin bertambah
“Cerita mereka nak jadi kerajaan ni bukan first time, kalau ini drama TV, orang dah tukar awal awal siaran sebab skrip sama sahaja. Waktu PRN enam negeri, pun cakap nak tukar kerajaan, tapi dah 145 hari dah semenjak PRN, tapi apa ada apa apa berlaku? Tiada.”
“Malah selepas PRN, satu satu post countdown mereka muat naik di sosial, kata kerajaan bakal bertukar 31 Ogos, tapi ni dah 31 Disember apa pun tak jadi. Yang terjadi adalah, beberapa MP Bersatu dah sokong dengan PMX, jumlah sokongan PMX semakin lama semakin bertambah, mereka sahaja dok berkurang.”
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Merbok itu juga mengatakan bahawa Langkah Dubai yang dilakukan untuk menumbangkan kerajaan gagal dan amat memalukan.
“Lebih memalukan, Langkah Dubai yang mereka cuba buat ini gagal. Kerajaan tidak dapat ditumbangkan, malah pelan mereka untuk bawa masuk duit RM 750 juta ke negara pun gagal kerana ketangkasan KDN bersama FBI, Interpol dan CIA menghalang usaha tersebut.”
Menurut beliau, Kerajaan hari ini sangat stabil kerana parti komponen sudah memberikan kesetiaan dan UMNO sendiri melalui Presiden parti itu mengatakan bahawa UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani.
“Kerajaan Madani ini sangat stabil, bertepatan dengan analogi kerajaan atap konkrit yang digunakan oleh PMX. Parti parti komponen kerajaan Madani sudah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi. Premier Sarawak dan juga pemimpin GPS sendiri mengatakan Langkah Dubai ini adalah buang masa.”
“Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi juga sudah menyatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani. Kita juga tahu, yang sibuk nak bekerjasama dengan PN ini bukan kem Zahid pun, jadi kegusaran itu tidak perlu ada.”
“Akhir kata, untuk Sanusi dan seluruh PN, ikut dan dengarlah nasihat dan tulisan TG Haji Hadi, orang yang sibuk mencari kesalahan kerajaan ini sama sahaja seperti ini lebih teruk dari beruk dan tupai. Oleh itu sudah sudah lah jadi beruk dan tupai, jadi lah manusia yang normal dan rasional, hendak ubah kerajaan boleh, ubah sewaktu PRU nanti. Lawan cara anak jantan.”
Semalam media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.