KUALA LUMPUR – Penubuhan pusat sehenti atau ‘one-stop centre’ oleh kerajaan negeri Pahang memberi ruang dan peluang untuk menyantuni perantau negeri itu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Beliau berkata penubuhan pusat sehenti yang ditempatkan di tingkat enam Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu adalah cetusan idea Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Apabila dibuka satu one-stop centre di WTC ia memberi ruang dan peluang kepada anak Pahang bekerja di luar Pahang dan belajar di luar Pahang ada hubungan secara langsung dengan kerajaan negeri Pahang.
“Kebanyakan mereka tidak mendapat sentuhan secara terus sebelum ini dan mereka juga tidak mengetahui maklumat yang terkini berkenaan Pahang, seperti apa kerajaan negeri buat. Tetapi mereka ini akhirnya kebanyakkan balik mengundi di Pahang,” katanya kepada AATV News.
Semalam, pusat sehenti untuk perantau Pahang dirasmikan dengan pelancaran Sekretariat Perantau Anak Pahang di WTC.
Pelancaran itu dibuat oleh Wan Rosdy dan turut dihadiri Shahaniza bersama 300 anak perantau Pahang yang terdiri daripada pelajar dan yang bekerja di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Shahaniza berkata penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang itu merupakan sekretariat pertama yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri di negara ini.
Beliau berkata penubuhan pusat sehenti itu mendapat sambutan sangat baik daripada anak-anak Pahang di Lembah Klang.
“Sebenarnya kalau ikut data ada dari kita lebih kurang 90,000 anak Pahang berada di luar Pahang. Majoriti berada di Lembah Klang
“11,000 pelajar kita yang sedang belajar di universiti luar Pahang. Jadi ada 100,000 anak Pahang. Kita bukan sahaja mahu menghubungi tetapi ingin memberi perhatian kepada mereka,” katanya.
Shahaniza juga berkata selepas ini kebajikan perantau Pahang juga boleh dipantau.
“Contoh mereka sakit masuk hospital dan tak ada kemampuan. Sedangkan di Pahang kita ada Tabung Prihatin Pahang untuk pesakit kronik.
“Mereka sebagai anak Pahang dan mengundi di Pahang layak untuk memohon bantuan daripada tabung itu,” katanya.
Sementara itu, Shahaniza berkata pemilihan WTC sebagai tempat pusat sehenti perantau Pahang adalah bagi memberi mesej jelas kepada mereka bahawa segala apa yang mereka nikmati sebelum ini adalah hasil perjuangan UMNO.
“WTC adalah satu mercu tanda UMNO sendiri dan Pahang selama ini ditadbir kerajaan negeri berpaksikan UMNO sehingga hari ini,” katanya.