KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pahang hari ini telah menubuhkan pusat sehenti atau ‘one-stop centre’ untuk menyelaraskan maklumat, program dan bantuan kepada perantau negeri itu, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pusat sehenti itu bertujuan bagi menyampaikan maklumat tepat tentang perkara yang berlaku dalam negeri tersebut.
Tambahnya, Exco Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dilantik untuk menjaga kebajikan anak-anak rantau serta golongan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di luar negeri berkenaan.
“Kemasukan mereka ini juga secara automatik, jadi sudah tidak perlu mendaftar,” katanya semasa melancarkan Majlis Pelancaran Sekretariat Perantau Anak Pahang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pusat sehenti itu ditempatkan di tingkat enam Menara Onn dan akan menjadi platform untuk anak rantau mengadu jika ada masalah.
Tambah Wan Rosdy, berdasarkan data yang diterima, seramai 11,251 anak Pahang telah menyambung pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Pahang.
Beliau berkata manakala seramai 96,182 anak Pahang telah merantau dan bekerja di luar Pahang.
“Saya berharap menerusi penubuhan sekretariat ini hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan anak-anak Pahang di perantauan akan lebih erat selain pelbagai program akan dapat dijalankan demi kebaikan bersama.
“Ini merupakan usaha dan langkah kerajaan negeri Pahang untuk mendekati dan menyantuni anak-anak Pahang yang berada di perantauan, agar mereka tidak merasa terpinggir selain kebajikan mereka turut dijaga seperti mana rakyat yang berada di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata Sekretariat Perantau Anak Pahang itu merupakan sekretariat pertama yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri di negara ini.