KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyifatkan ‘Langkah Dubai’ sebagai tidak wajar.
Beliau berkata sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati sepatutnya menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk menukar kerajaan.
“Sekiranya benar ia berlaku, saya kira itu tidak wajar.
“Saya kira sudah setahun kita bersama Kerajaan Perpaduan. Tak puas hati tunggu tiga tahun lagi iaitu Pilihan Raya akan datang,” katanya kepada AATV News.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun menggunakan dana asing.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’ untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tahu mengenai ‘Langkah Dubai’ sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu, tetapi enggan mendedahkan nama individu berkenaan.
1 Jan lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menafikan terbabit dalam gerakan itu.
Malah, Abdul Rahman membuat aduan polis mengenai fitnah itu apabila namanya turut dikaitkan.
Dalam pada itu, Shahaniza yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Maran berkata sepatutnya masa ini adalah untuk negara terus melangkah ke hadapan.
Katanya, apa yang perlu diberi perhatian adalah mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Ini untuk mendapatkan kepercayaan balik daripada pelabur-pelabur asing dan sebagainya.
“Kalau negara kita masih bergolak dalam politik, masih tidak dapat tingkatkan ekonominya, rakyat akan semakin susah dan sukar hadapi kehidupan mereka. Ini boleh menyebabkan berlakunya pemberontakan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Shahaniza berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu perkukuhkan parti itu sendiri.
Katanya ini termasuk dengan memberi perhatian kepada kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri.