KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata ‘Langkah Do Bye’ merupakan tindakan yang ingin mengeruhkan suasana yang tidak harmoni dikalangan komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau menyifatkan pihak yang mengerakkan langkah itu sebagai pengkhianat negara.

“Senang cerita dalam istilah politik, hantuk sana, hantuk sini, cucuk sana dan cucuk sini.

“Ramai nama pemimpin kena petik,” katanya dalam satu kenyataan.

Gulam yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata tindakan mengemukakan Statutory Declaration (SD) untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menukar kerajaan bukan kaedahnya.

Beliau berkata buktinya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ketika berlaku “hung Parlimen”, SD digunakan untuk membuktikan sokongan, tetapi YDPA menolaknya.

“(YDPA) mengguna kaedah hanya Ketua Parti mewakili parti masing-masing untuk menunjukan sokongan kepada apa yang ingin dipilih sebagai perdana menteri.

“Selepas dilantik perdana menteri sekali lagi telah membuktikan keabsahannya di Parlimen dengan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jumlah undi 148 Ahli Parlimen menyokong selebihnya menentang.

“Kini diatas kertas 153 Ahli Parlimen menyokong Anwar dan melebihi angka 2/3 majoriti,” katanya

Gulam berkata apa-apa pun berkaitan Langkah Do Bye walaupun sekiranya betul ada digerakkan, itu anggap sebagai satira politik yang sedap didengar.

Beliau berkata tetapi jangan percaya seperti menonton cerita ‘Superman’.

“Seorang manusia yang boleh terbang tetapi hakikatnya tidak lojik.

“Tidak dinafikan dalam politik ramai yang “berniaga dan mencari hasil” dengan menjadi sutradara politik walaupun tahu cerita itu tidak lojik.

“Tahun 2024 sepatutnya adalah Langkah Sinar Baru buat negara dan rakyat yang akan menyambut Sultan Johor sebagai YDPA ke-17 pada penghujung Januari ini,” katanya

Leave a Reply