KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyampaikan sumbangan kepada pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) Nor Aliff Mohd Nor, yang menghidap pelbagai penyakit di kediamannya di Perumahan Awam Sri Johor di Cheras.
Selain cacat fizikal, Nor Alif, 37, juga menghidap penyakit jantung, kencing manis, gout dan lumpuh separuh badan.
Nor Alif menetap bersama dua adik-beradik lain yang berusia 14 dan 16 tahun setelah kematian ibu bapa mereka.
Dalam pada itu, Wan Azizah berkata banyak perkara yang perlu dibantu dan difahamkan Nor Aliff juga ada berhutang dengan hospital yang menyebabkan rawatannya perlu dihentikan.
“Jadi, kita sedang usahakan untuk menyambung semula rawatannya itu.
“Kita juga akan bagi bantuan makanan untuk adik-adiknya selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan mereka,” katanya kepada media selepas menyantuni pemuda berkenaan.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut menyumbangkan wang tunai dan bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain bantuan daripada Tabung Kebajikan serta Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, Wan Azizah turut mengalu-alukan mana-mana individu atau syarikat korporat yang prihatin untuk terus menyumbang kepada YWP bagi membantu meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.