KUALA LUMPUR, 17 Januari 2024 – Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) dengan ini melahirkan perasaan dukacita dan teramat kasal dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan pencerobohan ke dalam presmis Rumah PWM di No. 19A, Jalan Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2024 sekitar jam 9.00 pagi.
Ketika pencerobohan dilakukan, pintu pagar di Rumah PWM berkunci dan tidak ada sesiapa berada dalam perkarangan Rumah PWM ketika itu. Difahamkan pihak penguasa DBKL telah membawa masuk beberapa buah fori milik DBKL dan beberapa jentolak ke dalam perkarangan Rumah PWM.
Rumah milik Kerajaan Persekutuan ini diberi sewa oleh Bahagian Perumahan Hartanah (PBH) Jabatan Perdana Menteri pada Disember 2022 berikutan daripada surat permohonan PWM kepada Setiausaha Negara (KSN) untuk mendapatkan sebuah rumah kerajaan untuk dijadikan pejabat bagi menggantikan Rumah PWM di Jalan Istana Negara yang terbakar semasa negara dalam Printah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Oktober 2020.
Bagi menghargai sumbangan pihak Kerajaan yang sentiasa menghargai jasa wartawan dengan menawarkan rumah milik Kerajaan untuk dijadikan pejabat, maka PWM telah menemui YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Persidangan PEDI di PICC pada 29 November 2023 untuk datang merasmikan Rumah PWM. Beliau menyatakan persetujuan secara lisan untuk hadir dan meminta PWM susuli dengan surat rasmi ke pejabat Perdana Menteri. Maka pada 30hb November 2023 sepucuk surat telah diemail kepada Pejabat Perdana Menteri melalui Timbalan Setiausaha Sulit Kanan beliau, Dato’ Awang Jeman. Pada hari yang sama juga PWM mengutus surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, memaklumkan mengenai perasmian Rumah PWM oleh YAB Perdana Menteri dan memohon Jabatan Lanskap DBKL membantu bagi mengindahkan kawasan Rumah PWM itu.
Bagi membuat persiapan awal, maka PWM mengambil dayausaha mencari penaja untuk mendirikan sebuah marquee tent dan tandas bagi memberikan keselesaan kepada tetamu yang hadir pada majlis perasmian itu nanti. Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada beberapa pegawai DBKL yang sentiasa datang mengunjungi Rumah PWM yang bertanyakan tentang marquee tent yang didirikan itu. Mereka amat jelas dengan penerangan PWM bahawa marquee tent dan tandas itu adalah semata-mata untuk majlis perasmian dan bukan untuk berniaga. Malah pihak yang menaja marquee tent itu akan menanggalkan kembali (dismantle) marquee tent itu sebaik saja majlis perasmian selesai. Mereka telah mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli marquee tent itu serta tambang menambang lebih daripada RM900,000.00.
Berdasarkan perkara di atas, maka PWM menganggap pihak DBKL sudah sedia maklum tetapi amat terkejut apabila diberitahu oleh jiran Rumah PWM bahawa pihak penguatkuasa bersama kekuatan anggota penguatkuasa, lori dan jentolak telah menceroboh masuk tanpa notis ke dalam perkarangan Rumah PWM. DBKL telah bertindak merobohkan marquee tent yang didirikan sementara dan satu unit tandas.
Pihak DBKL tidak menghubungi atau memberi apa-apa notiis untuk melakukan tindakan merobohkan marquee tent yang didirikan semata-mata untuk menyambut YAB Perdana Menteri bagi melakukan majlis perasmian. Tindakan mereka amat kejam dan memperlihatkan satu tindakan seolah-olah PWM ini satu organisasi penjenayah.
Oleh itu, kami PWM menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk tampil menjelaskan tindakan kejam DBKL terhadap organisasi orang Melayu sebegini rupa di kawasan Titiwangsa ini.