KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) semalam telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pengurusan Mayat Bukan Islam melalui Skim Prihatin bersama Persatuan Kebajikan Er Ge Feng, Song Da Feng Selangor dan Kuala Lumpur.
Majlis itu diadakan di Wisma YWP dan merupakan inisiatif bersama untuk memberikan rangka kerjasama dan kolaborasi yang dapat memberi impak yang positif kepada warga Wilayah Persekutuan.
Memorandum ini ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif YWP Abdul Rahman Siraj dengan Pengarah Eksekutif, Persatuan Kebajikan Er Ge Feng Dan Song Da Feng Selangor dan Kuala Lumpur, Datuk Seri Yong Mun Tong.
Majlis menandatangani memorandum itu turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Rohani Hussin, Dr Abdul Basir dan V Kunhimohamed.
Turut serta dalam majlis MoU itu, Ketua Pegawai Undang-Undang YWP, Mohd Fadzil Ab Hamid dan juga deligasi Persatuan Kebajikan Er Ge Feng Dan Song Da Feng Selangor dan Kuala Lumpur.
Melalui MoU ini dapat memberikan ruang yang lebih baik dalam merangka inisiatif yang lebih besar bagi membantu menampung kos pengurusan mayat yang tinggi dalam kalangan bukan muslim khususnya di Wilayah Persekutuan.
Diharap melalui MoU ini juga dapat memberikan lebih fokus dan ruang untuk mengadakan program dan aktiviti berkaitan keagamaan khususnya dalam kalangan bukan muslim.
“Dan juga dapat meningkatkan kepelbagaian idea demi menaiktaraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan,” kata YWP.