KUALA LUMPUR – Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak telah menarik lebih 2,000 warga kota bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian.
13 tan barang basah dan kering dijual pada harga lebih murah berbanding di pasaran antaranya ayam, ikan, telur, beras serta minyak masak.
Program itu dianjurkan di pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, jualan itu dapat membantu penduduk khususnya golongan miskin bandar mendapatkan bekalan segar pada harga berpatutan.
“Jualan ini ialah satu daripada usaha kita membantu meringankan kos sara hidup warga kota… Kita akan cuba memperluas lagi jualan seperti ini supaya ramai dapat manfaat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Selain jualan barangan keperluan harian, program itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung.
Wan Azizah berkata program itu dapat membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah terutama golongan B40.
Beliau berkata kuanter pemeriksaan kesihatan percuma juga dibuka bagi penduduk Bandar Tun Razak untuk memeriksa tahap kesihatan.
“Pemeriksaan kesihatan ini amatlah penting bagi memastikan mereka bebas dari penyakit kronik seperti darah tinggi, jantung, dan kencing manis.
“Semoga program ini dapat memberi impak kepada golongan yang terkesan dengan kos sara hidup,” katanya.