KUALA LUMPUR –Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang pada tahun ini disifatkan antara terbesar yang pernah diadakan di luar Pahang.

Beliau berkata, penganjuran oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang itu adalah ketiga terbesar yang diadakan di Lembah Klang sejak penubuhannya pada awal tahun ini.

“Ini adalah program ketiga terbesar yang kita buat sejak Penubuhan Perantau Anak Pahang. Yang pertama, Larian Tok Gajah dan yang kedua, Program Penyerahan Baucer (petrol/diesel) untuk anak-anak Pahang yang ingin balik beraya di Pahang,” katanya ketika ditemui di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Wan Rosdy berkata program itu akan diteruskan setiap tahun bagi mengumpulkan warga Pahang yang bekerja di sekitar Lembah Klang.

“Ini merupakan julung kali kita adakan majlis Aidilfitri untuk anak Pahang di Lembah Klang dan Alhamdulillah, dapat sambutan baik daripada mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Majlis Sekretariat Perantau Anak Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan pasukan atas penganjuran majlis ini,” katanya.

Beliau juga turut memberitahu Kerajaan Negeri sentiasa dalam usaha untuk membantu kebajikan Perantau Anak Pahang dari masa ke semasa.

“Program kebajikan ini memang adalah satu program agenda penting.

“Kita ada Bantuan Prihatin Pahang untuk para siswa dan siswi, anak-anak Pahang yang ada masalah sakit, uzur dan sebagainya. Itu yang kita akan bantu,” katanya.

Leave a Reply