SEPANG – Universiti tempatan perlu memanfaatkan sepenuhnya keanjalan yang diberikan oleh Agensi Kelayakan Malasia (MQA) terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dengan sepenuh jiwa.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan fleksibiliti kepada semua instusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan supaya boleh menjalankan PdP bersesuaian dengan keadaan semasa.
Katanya, keanjalan itu bukan hanya merangkumi silibus, bahan dan teknik pengajaran tetapi juga aspek penilaian pelajar terhadap subjek yang diajar.
“Secara konvensional, penilaian pelajar dibuat berdasarkan kuliah dan peperiksaan, namun dalam konteks hari ini, diharap IPT lebih terbuka dan PdP tidak semestinya berlaku di dalam kelas, ia boleh dilaksanakan di lokasi sesuai dengan konsep atau tajuk dibincangkan.
“Misalnya bagi kelas sains sosial, perbincangan boleh dibuat ditempat awam, kawasan perumahan, tempat tumpuan umum seperti pusat beli-belah dan lain-lain supaya pelajar dapat menghayati dan memahami senario semasa atau yang dibincangkan,” katanya.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Prof. Dr. Syed Muhammad Khairudin Al-Junied menyatakan pandangan, kebanyakan universiti di beberapa negara Islam, termasuk Malaysia seolah-olah sudah ‘hilang roh’ dalam melahirkan ilmuan terbilang berikutan hasil penyelidikan dan kajian menerusi penulisan yang diterbitkan mereka tidak lagi memberi impak kepada masyarakat.
Mengulas perkara itu, Mohammad Shatar berkata, beliau setuju dengan pandangan Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam(JKNC/RUA) yang menyatakan universiti mempunyai tanggungjawab penting dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi, dan sumbangannya perlu berubah selari dengan perkembangan semasa, namun perlu berpegang teguh dengan falsafah asal penubuhannya.
Beliau berkata, dalam konteks itu, MQA sentiasa bersifat fleksibel dan memberi sokongan kepada kaedah PdP terkini dan inisiatif itu selaras dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Katanya, peperiksaaan juga tidak perlu berteraskan kaedah konvensional pelbagai pilihan jawapan yang mana pelajar perlu menghafal, tetapi apa yang perlu dinilai ialah sama ada pelajar itu boleh membuat analisis, mengaplikasikan apa yang dipelajari dan ini jauh lebih penting supaya mampu melahirkan pelajar yang kompeten serta sesuai untuk menembusi pasaran pekerjaan hari ini.
“MQA sudah menjangkakan fenomena ini sama ada kita suka atau tidak, justeru IPT perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini menerusi inovasi pendidikan, perubahan minda serta cara kerja yang lebih kreatif.
“Sekiranya tidak bersedia menyediakan fleksibiliti sedemikian, dikhuatiri IPT tempatan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa kerana dalam mendepani dunia VUCA yang merujuk kepada volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas), kini mod pengajian yang lebih ‘mesra pengguna’ adalah diperlukan,” katanya.