KUALA LUMPUR – Dalam usaha membantu pemandu e-hailing yang semakin bertambah sekarang ini, aplikasi e-hailing lokal, MyRide dilancarkan.
Ketua Pegawai Operasi MyRide, Azlin Othman berkata, usaha Myride mempunyai dua motif iaitu ingin memartabatkan kembali industri e-hailing dengan menyusun strategi memperkasakan kembali pendapatan rakan pemandu dengan sistem pelan langganan yang diyakini dapat memberi pulangan pendapatan bersih yang lebih tinggi berbanding sistem komisen sedia ada.
“MyRide akan memastikan pengguna sentiasa mendapat kadar tambang yang berpatutan sepanjang masa, serta perkhidmatan yang selamat dan cekap dengan suntikan teknologi sistem dari pakar jurutera sistem.
“Penubuhan MyRide dicetuskan oleh rintihan dan kisah sebenar pengalaman pemandu e-hailing berpengalaman yang banyak memberi input mengenai keadaan dan isu semasa industri ini di mana perlu wujud satu syarikat yang benar-benar memahami kehendak pemandu.
“MyRide adalah platform yang mendengar rintihan pemandu dengan membuka platform whatsapp bagi memberi ruang kepada pemandu untuk meluahkan pendapat dan masalah mereka dan kami mengambil data-data ini bagi tujuan penstrukturan strategi operasi, pemasaran serta penetapan tambang,” katanya pada majlis pelancaran MyRide, hari ini.
Azlin berkata, bagi mengalakkan penumpang agar terus kekal menggunakan Myride, mereka bakal bekerjasama dengan gergasi e-wallet negara, untuk mengadakan program ganjaran buat pengguna setia MyRide.
“MyRide akan terus meneroka kerjasama dengan jenama-jenama terkenal tanahair dan syarikat SME dalam memperbanyakkan dan memperkasakan lagi program ganjaran MyRide.
“Di samping itu jaminan MyRide ialah mengekalkan harga tambang yang berpatutan, progresif dan relevan agar dapat mengimbangi kos yang perlu ditanggung oleh rakan pemandu pada ketika ini.
“Kami berharap selepas pelancaran MyRide ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia serta pemandu e-hailing tempatan memberi sokongan.
“Kami juga menyasarkan akan kawasan kecil dan terpencil dalam usaha meluaskan pasaran MyRide diseluruh Malaysia,” katanya.