KUALA TERENGGANU – Terus mengorak langkah dalam usaha melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah menjelang 2025, Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL) memperkenalkan kaedah hafalan al-Quran secara sistematik (fast-track).

Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, Akademi al-Quran Amalillah mengambil pelajar seawal usia 10 tahun menggunakan kaedah ‘fast track‘ bagi hafazan 30 juzuk al-Quran dengan sasaran hafiz dalam tempoh setahun.

Katanya, modul itu dicipta bagi menyelesaikan masalah anak-anak yang mengambil masa terlalu lama menghafaz al-Quran disamping membantu ibu bapa yang mempunyai perancangan melanjutkan pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan mengaplikasikan strategi program Speed Tahfiz, Modul AKMAL menyajikan pendekatan yang unik dengan mengintegrasikan sistem hafalan, dorongan motivasi harian, kajian pelajar yang berfokus dan pengurusan psikologi.

“Impian AKMAL ingin melihat pelajar menjadi hafiz 30 juzuk Al Quran pada usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah,” katanya selepas majlis perasmian graduasi AKMAL yang diadakan di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Majlis yang dihadiri 2000 tetamu itu turut dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Dato Seri Abdul Hadi Awang dan diserikan dengan kehadiran barisan Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu.

Mohd Saifullah berkata, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.

“AKMAL berharap dapat melahirkan lebih ramai mujahid dan mujahidah yang bukan sahaja menghafal al-Quran tetapi berjaya Syahadah dimana memiliki kemahiran teknik hafazan berstrategi dalam masa setahun atau kurang dari itu.

“Bukan itu sahaja, kami juga ingin melihat lebih ramai golongan intelektual mahir dan menghafal al-Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Kami mahu menjadi peneraju konsep ’fast track’ hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berketrampilan.

“Kami juga mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.

“Kami berharap usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan pastinya dengan bantuan semua, cita-cita ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Saifullah berkata, AKMAL bakal menaik taraf akademi pengajiannya dengan menubuhkan kolej pengajian al-Quran yang menawarkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.

Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 5.0 ini menyaksikan seramai 86 pelajar berjaya Hafiz dan Hafizah 30 juzuk al-Quran manakala 19 orang pelajar berjaya Syahadah al-Quran.

“Kami turut berbangga kerana salah seorang pelajar yang diraikan iaitu Muhammad Iman anakanda kepada personaliti TV, Aidid Marcello dan isterinya yang juga bekas penyampai berita, Norzie Pak Wan Chek,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi Awang dalam sidang media berkata, al-Quran adalah panduan terbaik dalam kehidupan yang wajib dipupuk sejak kecil.

“Pelajar yang menghafal al-Quran didapati lebih mudah untuk memahami ilmu lain tidak kira dalam mana-mana lapangan.

“Atas dasar itu, kita mesti terus beramal dengan al-Quran. Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang Allah berikan kepadanya, Allah tambahkan lagi ilmunya.

“Menjadi kewajipan untuk mendalami ilmu selepas daripada kejayaan untuk menghafal al-Quran dan disambung pengajian ilmu itu dalam pelbagai bidang,” katanya.

AKMAL yang berpusat di Marang, Terengganu dan telah beroperasi sejak lima tahun lalu kini memiliki lima cawangan antaranya di Bukit Beruntung, Sepang dan Shah Alam, Selangor serta di Batu Pahat, Johor.

 

By Cynthia

Leave a Reply