KUALA LUMPUR – Filem Abnormal Buas yang bakal menemui penonton pada 20 Jun ini memulakan sesi pengenalannya menerusi pelancaran novelnya yang diadaptasi daripada filem berkenaan.
Menemui pembaca novel dengan lebih dekat, pelancaran novel berkenaan berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Menggunakan judul yang sama, novel itu ditulis oleh Shahriman Wahap, Nadzri Kamsin dan Syamzaly Musa serta diterbitkan oleh Karya Publika Sdn Bhd.
Pelakon yang juga penerbit filem itu Aeril Zafrel berkata, penerbitan novel ini memberi ruang kepada penonton dan orang ramai untuk lebih memahami jalan cerita dengan lebih mendalam lagi.
“Novel ini diterbitkan disebabkan cerita ini begitu kaya dan mendalam, sehingga tidak dapat dimuatkan sepenuhnya dalam format filem.
“Dengan menerbitkan novel terlebih dahulu, saya berharap pembaca dapat menyelami perjalanan cerita ini dengan lebih terperinci dan komprehensif.
“Walaupun tanpa mengikuti keseluruhan trilogi, mereka yang menonton filem ini akan tetap dapat memahami alur dan makna ceritanya dengan baik. Ini menunjukkan betapa hebat dan lengkapnya penceritaan dalam novel ini.
“Sebenarnya, menggambarkan keseluruhan cerita dari novel dalam bentuk filem mungkin tidak mencukupi. Novel ini seolah-olah menjadi tambahan yang memperkaya pemahaman penonton terhadap dunia cerita yang begitu mendalam.
“Bagi mereka yang membaca novel ini, pasti akan dapat menyelami dan memahami cerita ini dengan lebih menyeluruh dan bermakna lagi,” katanya.
Berkongsi tentang jalan cerita filem itu, Aeril berkata, ia mengisahkan manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ dengan diselitkan eleman fiksyen.
“Filem ini tidak berlatarbelakangkan Malaysia, sebaliknya ia berkisarkan di negara yang berbeza.
“Bandar dan watak yang diketengahkan juga bukan dari Malaysia, memandangkan cerita ini mengandungi unsur-unsur yang mungkin dikenakan tapisan sekiranya ia berlatar di negara kita.
“Untuk memberikan kebebasan kreatif, kami mencipta satu negara yang berbeza sebagai latar belakang. Apa yang menarik mengenai novel dan cerita ini ialah ia agak unik dan mempunyai banyak unsur yang mendebarkan serta membangkitkan rasa teruja,” katanya.
Selain Aeril, filem terbitan Respected Citizen Production ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Nabila Huda, Wawa Zainal, Johan Asari, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosemila, Kodi Rasheed, Ahmad Yatim, Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Jalil Hamid dan ramai lagi.
Novel ini mengisahkan, Dahliya yang mahu melupakan sejarah hitamnya dan mahu memulakan hidup baru bersama anak tunggal kesayangannya Izo.
Namun detik hitam muncul lagi dalam hidup Dahliya apabila rumah mereka dimasuki oleh pasangan penyamun, Bullet dan Speed.
Dahliya dan Izo berjaya mengusir mereka, namun sewaktu dia membuat laporan di balai polis, ASP Musa Grey bertindak memperkosa Dahliya di depan Izo.
Dahliya dan Izo didatangi oleh tiga lelaki yang mewakili E-1, agensi rahsia yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan politik di Kota Lemuriya.
Mereka berdua diangkat menjadi pembunuh upahan pasukan E-1 yang berpengkalan rahsia di hospital mental Pusat Aman Bahagia.
20 tahun selepas itu, dalam satu pertemuan yang tidak dijangka, Izo bertemu semula dengan ASP Musa Grey, Bullet dan Speed di Harmoni Vila. Izo kali ini sudah bersedia dan tragedi berdarah bakal berlaku di vila itu.
Bagi yang ingin mendapatkan novel dijual pada harga RM33.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM35.90 (Sabah dan Sarawak).