KUALA LUMPUR – Tampil sekali lagi menjayakan konsert Ada Apa dengan Melly & Friends? di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, nyata persembahan penyanyi dan komposer popular Indonesia, Melly Goeslaw begitu hebat dan mempesona.
Berlangsung lebih dua jam, konsert berkenaan memukau lebih 9,000 peminatnya yang rata-rata hadir dengan mengikut tema ‘malam graduasi’ pakaian sekolah.
Malah persembahan malam itu membawa mereka mengimbau semula saat tamat persekolahan melalui lagu-lagi hit Melly Goeslaw.
Persembahan pemilik nama Melliana Cessy Goeslaw itu disempurnakan dengan iringan okestra yang dipimpin oleh suaminya Anto Hoed sebagai pengarah muzik.
Melly membuka panggung dengan lagu Tak Tahan Lagi yang terus mencuit adrenalin peminat sebelum disambung Ingin Dicintai dan Mencintai, Pencinta Wanita dan Berdua Lebih Baik yang membuat seluruh isi Axiata Arena bergema.
Melly turut mempamerkan kehebatan dalam menghasilkan lagu apabila hanya memerlukan masa 15 minit menulis lirik lagu spontan di atas pentas bersama dua orang peminat yang didedikasikan khas buat rakyat Palestin.
Lagu berkenaan juga ditujukan khas buat rakyat Palestin yang kini telah hilang tempat perlindungan selepas tentera Zionis melakukan serangan di Rafah.
Melly turut menyuarakan solidariti terhadap Palestin dengan mengatakan individu itu tidak perlu seagama Islam untuk mempamerkan sokongan kepada Palestin.
“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas.
“Tidak mengira sama anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun, tidak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa saja.
“Tapi yang utama adalah kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,” katanya.
Lagu berkenaan dinyanyikan oleh Melly dan peminat dengan iringan muzik orkestra sehingga mengundang sebak dan menitiskan air mata ketika di atas pentas.
Konsert yang berlangsung meriah itu menyaksikan untaian 29 buah lagu yang dipersembahkan sehingga tidak ada ruang untuk peminat berasa bosan lantaran penyanyi itu begitu bersahaja di atas pentas sambil berdansa mengikut rentak muzik.
Suasana di dalam dewan kian rancak apabila Joe Flizzow tampil berduet, mendendangkan lagu Jika.
Tidak cukup dengan itu, Melly juga memberi kejutan kepada penonton apabila menampilkan penyanyi dan pemenang tempat keempat peringkat akhir America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, Putri Ariani.
“Saya ingin berterima kasih kepada Putri dan sebab itu saya berikan kepercayaan kepadanya membawakan lagu yang bagiku adalah magma dalam perjalanan karier sebagai pencipta lagu,” katanya sambil beredar memberi pentas kepada Putri Ariani membawakan lagu Cinta Sejati serta Kamu dan Kenangan.
Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu ialah Gantung, Suara Hati Seorang Kekasih dan Let’s Dance Together, Bagaikan Lagi, Salah dan banyak lagi.
Melly turut menyanyikan beberapa lagu yang dipopularkan oleh beberapa selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia), Datuk Seri Rossa (Ayat-Ayat Cinta), Menghitung Hari (Kris Dayanti), Pencinta Wanita (Irwansyah), Sampai Menutup Mata (Acha Septriasa), Hanya Memuji (Shanty dan Marcell) dan Jangan Pernah Berubah(Marcell).
Sebelum meninggalkan konsert dengan tema graduasi yang menurut Melly ‘semuanya lulus’, Melly mengumumkan akan kembali bertemu peminat lewat kesinambungan konsert ketiga dengan tema Prom Night pada 31 Mei tahun depan.
Boleh dikatakan perjalanan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? yang dibawakan oleh AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment berakhir dengan penuh mengujakan.