Kuala Lumpur, 30 Jun 2024 Pertubuhan Seni Gayong Bersatu (PSGB) menganjurkan Majlis Pertabalan Sandang Kebesaran Silat Seni Gayong Pertubuhan Seni Gayong Bersatu (PSGB) bagi tahun 2024 yang diadakan di Ideas Kuala Lumpur Hotel. Majlis ini dirasmikan oleh YBhg. Bonda Hajah Siti Fadzilah Binti Dato’ Meor Abdul Rahman, Waris Mutlak Zuriat Mahaguru Silat Seni Gayong. Majlis pertabalan ini adalah merupakan majlis yang kedua yang dianjurkan oleh PSGB dan kali terakhir majlis ini dianjurkan adalah pada tahun 2022.
Pertabalan sandang berjawatan ini melibatkan 41 gurulatih dan anak murid Gayong manakala Sandang Kehormat melibatkan 16 tokoh akademik/orang perseorangan yang banyak membantu dari segi komitmen, masa dan tenaga sepanjang penubuhan pertubuhan ini. Penganugerahan sandang berjawatan ini adalah bagi menentukan kekananan mereka dalam sesuatu majlis pertubuhan, manakala Sandang Kehormat dianugerahkan sebagai penghormatan atas jasa individu dalam membantu membangun dan mengembangkan pertubuhan ini.
Majlis yang dianjurkan secara sederhana ini dihadiri seramai 25 orang tetamu kehormat antaranya terdiri daripada Waris Kerabat Mahaguru, Puan Siti Zubaidah Bt Sheikh Husin, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), YBhg. Lt. Jen. (B) Dato’ Pahlawan Mohd Razif B Hj Idris dan beberapa orang wakil tertinggi negeri Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia serta Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dengan jumlah anggaran kehadiran keseluruhan tetamu seramai 100 orang termasuk pasangan penerima sandang dan urusetia majlis
Majlis ini dimulakan dengan pertabalan sandang Khas Panglima Singa Malaya dianugerahkan kepada Presiden PSGB, Cikgu Sheikh Shamsul bin Sheikh Salim dan Sandang Kipas Emas kepada Cikgu Mohd Samsudin bin Mohd Yusof diikuti dengan pertabalan sandang berjawatan terdiri daripada 2 sandang Waris Beradat. 2 sandang Ketua Beradat, 4 sandang Khalifah Kanan, 10 sandang Khalifah, 4 sandang Srikand 16 sandang Khalifah Muda dan 1 sandang Srikandi Muda
Pertabalan sandang ini diteruskan lagi dengan penyampaian sandang kehormat didahului dengan sandang Mahkota Seri Cahaya Pelangi yang dianugerahkan kepada YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din seterusnya sandang Mahkota Cula Pelangi kepada Yang Arif Dato’ Prof Madya Hj Muhammad Asri Bin Abdullah diikuti dengan 14 penerima yang lain.
Para hadirin juga menyaksikan Majlis Penyerahan borang keahlian Ahli Bersekutu Pertubuhan Waris Kerabat (PWK) dari Setiausaha Agung PSGB, YBrs. Puan Yunnyzar binti Mohd Zain kepada Setiausaha Pertubuhan Waris Kerabat, YBrs. Puan Siti Aluyah binti Sheikh Hussin diikuti dengan Majlis penyampaian bengkong Hitam tinggi dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada YBhg. Bonda Hajah Siti Fadzilah Binti Dato’ Meor Abdul Rahman.