SEORANG peniaga kedai runcit buntu apabila diminta mengosongkan premis disewanya sejak 12 tahun lalu di Taman Semarak, Nilai walaupun masih mempunyai baki kontrak hingga hujung tahun ini. 

Nurfairuz Majumber Shah, 37, mendakwa pemilik bangunan dua tingkat itu pada awalnya memaklumkan ingin menjual unit berkenaan kepada beliau. 

Memikirkan sudah lama menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan, Nurfairuz berkata beliau membuat keputusan untuk membeli unit itu daripada pemilik dengan suatu jumlah yang telah dipersetujui, dan beliau juga telah membuat pinjaman untuk membeli lot kedai berkenaan. 

“Bagaimanapun, saat akhir pemilik berubah fikiran dan memaklumkan beliau sudah jual premis ini kepada individu lain,” katanya kepada Malaysiapost. 

Rentetan itu, beliau berkata individu yang mendakwa sebagai pemilik baru unit berkenaan menghantar satu notis meminta pihaknya keluar daripada premis berkenaan Ogos ini. 

“Pemilik baru hari-hari datang kacau kami suruh keluar. Saya kata tak boleh sebab sewa (kontrak) ada lagi sampai bulan 12, kita ada lagi enam bulan nak habis, mana boleh langgar perjanjian. 

“Dia tetap berdegil usir kami dan suruh cari tempat lain, dalam masa singkat ni mana kami nak pindah? Barang kedai ni banyak… kalau kena keluar sekali pun, kami mahu ganti rugi,” katanya. 

Menurut beliau, sewa bulanan sebanyak RM3,300 sebulan juga dibayar mengikut waktu dan tidak pernah tertunggak. 

Nurfairuz memaklumkan beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian kacau ganggu oleh pemilik baharu itu. – Malaysiapost

Leave a Reply