KUALA LUMPUR – Ramai pereka fesyen muda di Malaysia menyimpan impian dan aspirasi untuk menjadi seorang pereka tersohor pada suatu masa nanti.
Mereka sentiasa mengintai peluang untuk mereka cipta pakaian yang memberi kepuasan bersandarkan beberapa elemen.
Menyedari hakikat itu, pereka fesyen Jonathan dan Farel Mikhail yang juga penganjur acara, FM Group membuka peluang kepada pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka dalam International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.
ICFW adalah salah satu program di bawah acara Precious of Malaysia yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
“Kami sedar dan tahu, ramai sebenarnya pereka muda di luar sana yang berbakat besar dan mempunyai idea di luar kotak serta kreatif.
“Inilah peluang untuk mereka menonjolkan potensi yang ada demi mengejar cita-cita sebagai pereka fesyen terkenal suatu hari nanti,” katanya.
Farel berkata, berkarya tidak salah namun harus tahu batasnya.
“Kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai ‘melacurkan’ budaya kita menerusi fesyen yang anda reka.
“Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif.
“Misalnya mereka baju Melayu yang jarang kainnya, guna tanjak dijadikan baju seksi untuk menutup bahagian dada dan sebagainya.
“Mungkin nampak kreatif bagi sesetengah orang tapi ia seolah-olah ‘mencemarkan’ identiti budaya Melayu.
“Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia dilihat seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan.
“Pada pendapat saya, wujudnya masalah ini disebabkan kurang cakna pereka fesyen mengenai adat istiadat budaya.
“Pereka fesyen perlu memahami sekali gus menghormati identiti pakaian kaum yang dihasilkan.
“Ini kerana budaya kita ada nilai estetika sendiri, kena ikut resmi itu. Kena tahu asal usul setiap budaya, jangan ‘overdo’ atau rosakkan budaya,” katanya.
ICFW platform untuk pereka muda, babitkan negara serantau
Pertandingan rekaan fesyen ICFW yang juga salah satu program di bawah Precious of Malaysia adalah satu platform buat pereka muda.
Penganjuran pertandingan ini sebagai platform kepada pereka fesyen baharu atau sedang mencipta nama.
“Ini masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.
“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen,” katanya.
Menurutnya, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Dua tahun berturut-turut kami babitkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.
“Untuk Malaysia, kami akan ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.
“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana membabitkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” katanya.
Pertandingan ini membabitkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.
Selain ICFW, Precious of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1001 orang hadir memakai tanjak pada hari berkenaan.
Sempena acara itu, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos.