KUALA LUMPUR – Saiful Jaicob atau nama sebenar Md Noor Saifullah yang juga penyanyi dan komposer, Sabah kini kembali dalam industri muzik dengan single terbarunya berjudul “Kali Kedua” ciptaannya sendiri, manakala lirik oleh Kent dan ianya dirakamkan di Patauboys Home Studio, Sabah.
Sebelum ini, Saiful Jaicob mempunyai beberapa buah single pada tahun 2014 dan telah menemui langkah untuk menceburi dalam dunia nyanyian apabila menyertai sebuah program anjuran Luncai Emas pada tahun 2017 bersama beberapa komposer tempatan Sabah yang lain.
Dari sinilah titik permulaan apabila Saiful Jaicob telah merakamkan satu lagi lagu baru untuk tahun 2024 yang berjudul “Kali Kedua”.
Setelah siap, lagu ini telah dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.
Saiful berkata, lagu ini mengisahkan tentang ketegasan prinsip seorang insan yang pernah ditinggalkan dahulu kemudian dirujuk kembali namun menolak dengan sepenuh hati.
“Ini kerana, kisah pahit akibat ditinggalkan telah meninggalkan kesan hitam dan hilangnya perasaan untuk membina semula cinta yang musnah.
“Biarpun kadang-kadang terfikir untuk memberi peluang kedua namun biarlah ianya sebagai khayalan semata demi meneruskan kelangsungan hidup daripada diberi janji yang belum pasti kesudahannya.
“Kesengsaraan itu biarlah cuma sekali dan pastinya tidak berulang untuk kali kedua,” katanya.
Tambahan pula, single Kali Kedua ini telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024, dan kini sudah memasuki minggu ke-13 dan menduduki tangga ke-2.
“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya.
“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ianya boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024,” katanya.
Buat masa ini, Saiful Jaicob fokus merilis single Kali Kedua di semua saluran digital sejak 5 Julai lalu dan official audio di Youtube.
Peminat boleh membuat undian juga untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.
Semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.