KUALA LUMPUR – Selepas mengumumkan penganjuran konsert Divas & Diamonds 2024 dengan pembabitan tiga artis popular iaitu Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah, Mega Eve Sdn Bhd, memperkenalkan seorang lagi artis yang bakal membuat persembahan iaitu legenda hip hop, Joe Flizzow.

Berkongsi mengenai pengumuman itu, Joe mengakui teruja dan tidak akan melepaskan peluang untuk kembali berduet dengan Rossa pada konsert itu nanti.

Katanya, dia dan Rossa mempunyai dua lagu duet berjudul ‘Katakan’ dan ‘One Night Lover’ dan kali terakhir mereka berduet kira-kira sembilan tahun lalu pada Konsert Pesona Cinta Rossa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada tahun 2015.

“Kedua-dua lagu duet ini adalah ciptaan saya dan saya bertuah dapat berkolaborasi dengan Rossa kerana untuk melihat artis Indonesia yang menyanyikan lagu ciptaan dari luar terutama Malaysia agak susah.

“Untuk konsert kali ini, saya rancang berduet dengan Rossa dan akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Walaupun sudah lama tidak mengadakan persembahan bersama, kami tetap berhubung,” katanya pada sidang media pengumuman dirinya dalam konsert berkenaan, baru-baru ini.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, akan menampilkan Joe dan Rossa masing-masing diiringi oleh band mereka sendiri manakala Jamal dan Dayang pula akan diiringi oleh komposer terulung, Genervie Kam.

Joe berkata, terbabit pada konsert berkenaan adalah satu penghormatan baginya apabila berada sebaris dengan penyanyi ternama lain dan berharap dapat ‘memberikan’ persembahan yang terbaik kepada peminat.

“Saya anggap ini adalah peluang untuk melihat muzik genre hip-hop dalam negara semakin diterima baik dan berada pada tahap yang matang berbanding dahulu selepas melalui pelbagai cabaran.

“Saya akan cuba persembahkan ’level of music’ yang mungkin sebelum ini orang kurang melihat,” katanya.

Konsert Divas & Diamonds 2024 bakal diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada 7 September depan.

Sebanyak 5 peratus daripada hasil jualan tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin.

Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara di Gaza.

Untuk pembelian tiket konsert layari ticket2u.com.

By Cynthia

Leave a Reply