PETALING JAYA – Metrowealth International Group (MIG) sekali lagi menggunakan khidmat pengarah berbakat, Pierre Andre menerusi filem berjudul Dajal (Satu Malam Di peDajal).

Bakal memulakan penggambarannya 16 Julai ini, filem yang mempertaruhkan genre seram thriller itu adalah arahan kedua Pierre selepas hampir 10 tahun tidak mengarah.

Berkongsi mengenai filem ini, Pierre berkata, dia berharap dapat mempersembahkan cerita fiksyen seram dan ganas.

Walaupun tajuknya adalah Dajal, filem ini bukanlah memberi fokus kepada ‘makhluk’ yang mahu menyesatkan manusia seperti dinyatakan dalam al-Quran.

“Filem ini mengisahkan kegiatan segelintir kelompok pemuja syaitan berkepala kambing yang melakukan ritual untuk mempercepatkan proses kemunculan Dajal.

“Jika kita cuba memahami erti perkataan Dajal itu sendiri di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ia memang bermaksud individu, tetapi ia juga mempunyai makna lain, iaitu sifat seseorang.

“Apa yang cuba saya gambarkan adalah sifat Dajal pada kumpulan pemuja syaitan ini yang mahu menghidupkan kekuasaan Dajal.

“Saya tidak berani menghasilkan filem yang benar mengenai Dajal kerana ia sangat berat bagi saya kerana ia memerlukan kajian lebih khusus berdasarkan al-Quran dan Hadis,” katanya.

Pierre berkata, filem seram kali ini agak berlainan kerana paling banyak menggunakan efek darah serta cara pembunuhan paling kejam.

“Saya cuba gambarkan suasana tempat pembunuhan itu sendiri yang cukup menyeramkan seperti mana kita tonton filem Seven.

“Saya mengambil pengaruh filem Evil Dead untuk hasilkan fileM ini dan disebabkan itu, ia tidak sesuai diletakkan dalam klasifikasi tayangan umum,” katanya.

Pierre berkata, dalam filem Dajal dia boleh berkreativiti dengan lebih lagi melalui konten dan visual sebagai pengarah.

“Melalui filem ini juga, saya ingin beritahu orang ramai supaya kita jangan alpa, memandangkan memang ada kelompok yang teruja dengan perkara seperti pemujaan syaitan dan mahu Dajal muncul secepatnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Penerbit filem Dajal, David Teo berkata, keputusan untuk menerbitkan filem bergenre seram thriller ini adalah selepas beliau meneliti keunikan konsep yang mahu disajikan kepada penonton, seterusnya memecahkan stereotaip genre yang pernah diterbitkan oleh MIG.

“Saya meneliti sendiri skrip filem ini dan merasakan ia adalah filem seram thriller yang berkonsepkan “out of the box” dan dapat merasakan filem ini bakal mencetuskan fenomena baru.

“Selain yakin dengan konsep cerita, pengarah, barisan pelakon, saya juga yakin dengan pemilihan tajuk Dajal yang memiliki tarikan dan maksud yang tersendiri,” katanya.

Filem Dajal ( Satu Malam Di peDajal ) dibarisi oleh pelakon Amir Nafis, Bidin Alzaifa, Khatijah Tan, Da’i Syed, Jaja Iliyes, Hanna Halim, Faa Zaini, Jay Iswazir dan ramai lagi.

Filem ini bakal memulakan penggambaran bermula 16 Julai dan sepenuhnya dilakukan di Fraser Hill, Pahang.

By Cynthia

Leave a Reply