KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,038 daripada keseluruhan 5,125 tempat yang ditawarkan oleh Institut Malaysia-China (MCI) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diisi.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menggelarkan ia sebagai ‘pencetus perubahan’ untuk TVET Malaysia.

Katanya, inisiatif itu akan memberikan kemahiran dalam menggunakan peralatan teknologi tinggi kepada pelajar Malaysia dan membina landasan kerjaya yang menjanjikan pulangan memuaskan dalam bidang TVET termasuk gaji yang lebih baik.

“Penting bagi kita menterjemahkan bentuk kerjasama ini dalam konteks Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Perdana Menteri China Li Qiang teruja dengan kecepatan kita menyambut tawaran ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif MCI, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif Chery Malaysia Chen Gang dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat MCI.

Pada Mei lalu, sejumlah 220 syarikat China menawarkan 5,125 tempat untuk pelajar Malaysia menjalani latihan jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan TVET yang dilihat sebagai pemacu utama dalam meningkatkan industri itu di Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), berkata pihaknya merencanakan dua kumpulan berbeza untuk dihantar ke China dengan satu daripadanya adalah tenaga pengajar.

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri menghantar dua kumpulan tenaga pengajar dan setiap kumpulan terdiri daripada sembilan orang untuk mendapat pendedahan dalam pelbagai bidang yang ditetapkan. Oleh itu, kita akan hantar dua kumpulan,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan memberi peluang yang saksama kepada semua pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk kaum Cina dan India serta pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam inisiatif ini.

“Sebanyak 5,125 tempat baharu diumumkan pada Mei lalu, sebelum itu hanya 2,000 yang diperuntukkan kepada kita, dengan penambahan itu saya memberi peluang kepada kaum Cina, India, pelajar dari Sabah, Sarawak dan lain-lain untuk dihantar juga bagi memberikan kesaksamaan kepada pelajar-pelajar ini.

“Saya berterima kasih kepada TANG International Education Group, Cherry serta Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang telah menyambut program ini dengan segera dan PTP misalnya, telah mengambil 100 peratus pelajar yang kita hantar untuk bekerja dengan mereka, begitu juga dengan Cherry,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan MTVET telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan 1,383 syarikat untuk mengambil graduan TVET pada pelbagai tahap sekali gus menjamin peluang pekerjaan yang cerah untuk mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohamad Rizan Hasan berkata, pada majlis berkenaan seramai 56 peserta yang akan dilepaskan untuk kali ini.

Manakala, seramai 18 pelajar adalah yang pertama kali menjalani latihan dalam tempoh yang lama.

“Mereka terdiri daripada pekerja dan tenaga pekerja yang akan menjalani latihan selama tiga bulan di sana.

“Untuk 18 pelajar ini pula, mereka akan menyambung pengajian selama setahun dan ini adalah tempoh paling lama berbanding sebelum ini.

“Kumpulan yang akan belajar untuk tempoh setahun ini dari awal belajar di sini tidak punya bidang akademik yang bagus mereka cabar diri belajar bahasa Mandarin akan ke sana akhir Julai ini,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply