KUALA LUMPUR – Pelbagai program menarik akan dikendalikan Wanita UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 21 Ogos ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata antara program yang akan diadakan adalah kursus pentadbiran wanita luar biasa yang akan dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Ogos ini.

Beliau berkata selepas itu pada 20 Ogos ini akan diadakan anugerah kepada sukarelawan Wanita UMNO yang banyak berjasa kepada parti.

“Kita namakannya anugerah wanita luar biasa. Malam anugerah itu mungkin akan dirasmikan oleh isteri presiden kita.

“Kita akan jemput semua ahli majlis tertinggi UMNO,” katanya kepada AATV News.

Menurut Rosni, program lain akan dianjurkan seperti ‘sembang 5 minit’ bermula 22 hingga 24 Ogos ini.

Katanya, dalam program itu akan memanggil pemegang taruh dan menteri atau timbalannya menjawab isu-isu semasa.

“Tak payah lama-lama kita tahu orang tak nak lama-lama.

“Kita akan jemput semua pemegang taruh jawab isu sebab rakyat nak jawapan komprehensif dan yakin dengan jawapan tersebut,” katanya.

Kata Rosni lagi, Wanita UMNO juga ada membawa usul di setiap bahagian untuk memohon keadilan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau sebagai pengamal undang-undang mendapati banyak kepincangan dalam pengendalian kes Najib.

“Ramai pengamal undang-undang juga yang ikuti proses perjalanan kes Najib mendapati banyak perkara tidak betul dan tidak ikut prosedur.

“Ini merupakan penginayaan kepada Najib,” katanya.

Leave a Reply