KUALA LUMPUR – Lebih 4,000 ribu penonton terhibur dan terlihat berpuas hati dengan persembahan konsert By Ajai & Mega Friends yang telah berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
Selain Ajai, konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan rakan artis popular lain iaitu Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip, Illa Sabri, Hazama selain pendatang baharu, Aufahanie serta kemunculan bersama Raes dari program realiti Gimme The Mic terbitan Astro.
Tidak dapat dinafikan sepanjang perjalanan 33 tahun dalam dunia seni, Ajai berjaya menghasilkan lagu-lagu hit yang menjadi pilihan sehingga ke hari ini.
Tidak keterlaluan jika Ajai dianggap ‘genius’ dalam penghasilan lagu yang berkualiti. Malah Ajai turut berkongsi cerita di awal kemunculan sehinggalah ke hari ini pembabitannya dalam bidang seni dan penghasilan lagu.
Tidak dinafikan pemilihan lagu pada konsert malam itu begitu menggamit perasaan kerana boleh dikatakan semua lagu yang dipersembahkan adalah lagu ‘sing along’.
Sebanyak 18 buah lagu yang telah dipilih untuk dipersembahkan didalam konsert ini dan lagu Semua Orang tahu nyanyian asal Rem, menjadi pembuka tirai lagu untuk persembahan pertama Ajai.
Seterusnya Ajai menyampaikan lagu Percayalah nyanyian penyanyi tersohor negara iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza. Rata-rata peminat yang hadir mula menyanyikan lagu ini bersama.
Kemunculan Aufahanie di pentas yang begitu mendalami lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin turut memukau dengan kelunakan suara merdu yang begitu mengasyikkan.
Ajai mengakui lagu berkenaan sangat sentimental untuknya kerana dia begitu mengagumi bakat arwah Sarah yang cukup luar biasa.
“Kali pertama saya dengar suaranya, saya sudah dapat rasakan dia mempunyai bakat dan aura tersendiri. Arwah memiliki tona suara rendah dan tinggi yang cukup baik.
“Bercakap mengenai keperibadiannya juga cukup baik sampaikan ketika dia mula bercinta dengan Shuib, arwah bawa Shuib berjumpa dengan saya.
“Namun soal hidup ini hanya Allah sahaja yang tahu. Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.
Ajai turut tampil berduet dengan Aufahanie menerusi lagu Keliru dan Lagu Rindu yang pernah popular nyanyian asal Ajai bersama bekas isterinya, Nourul Depp.
Tanpa berlengah, konsert diserikan dengan jenaka oleh penyanyi Hazama yang turut menyampaikan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Saleem iaitu Juwita dan Amaran Mama.
Kehadiran penyanyi Illa Sabri diantara yang paling mendapat tepukan gemuruh serta ‘standing ovation’ dari semua peminat didalam Mega Star Arena.
Lagu keramat Keranamu Kekasih berkumandang secara ‘live’ setelah bertahun-tahun penyanyi itu menyepikan diri. Ternyata Illa Sabri masih bertenaga dan bersungguh-sungguh menyempurnakan nyanyiannya.
Aina Abdul tampil mengambil tempat dengan memulakan persembahan menerusi lagu popular Selagi Ada Cinta yang pernah didendangkan oleh penyanyi soprano Malaysia, iaitu Ning Baizura.
Penyanyi dan pencipta lagu yang sangat berbakat ini telah mengolah nyanyian dengan caranya yang tersendiri. Lagu popular Ajai dan Kris Dayanti, Hati Ini Telah Dilukai turut dinyanyikan duet bersama Ajai.
Kehangatan konsert semakin terasa apabila vokal penyanyi Hafiz Suip dialunkan, bagai gegak gempita diseluruh Mega Star Arena.
Dengan nyanyian yang mantap menerusi lagu Ku Akui. Lagu Datin Alyah juga menjadi pilihan yang bertajuk Tak Mungkin Kerna Sayang berjaya disampaikan dengan begitu baik sekali oleh Hafiz.
Telahan penonton berjaya apabila penghibur yang ditunggu-tunggu iaitu Dayang Nurfaizah muncul di segmen terakhir.
Dayang turut menyampaikan lagu dari Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang bertajuk Kesetiaan. Lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi lagu terakhir pada malam yang penuh beremosi dan nostalgia itu.
Nyata, konsert yang berlangsung lebih dari 2 jam ini sebenarnya tidak cukup untuk menyelusuri karier seni Ajai.
Untuk info, Ajai sudah menghasilkan lebih daripada 1,000 buah lagu dan lebih 80 lagu hits ciptaan beliau masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.