KUALALUMPUR, 4 September 2024 – Keluarga seorang doktor wanita, Dr Shintumathi a/p Mutusamy, yang ditemui meninggal dunia di kediamannya pada 8 Oktober 2023, sekali lagi mendesak pihak polis untuk menyiasat semula kes kematian yang diklasifikasikan sebagai “mati mengejut”.
Keluarga mendiang percaya bahawa kematian Dr Shintumathi bukanlah kematian semula jadi, tetapi satu pembunuhan yang dirancang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Nambikkai Malaysia, Dato’ Dr KalaiVanar, keluarga mendiang menolak dakwaan awal pihak polis bahawa Dr Shintumathi meninggal dunia secara mengejut.
Sebaliknya, mereka mendakwa terdapat elemen konspirasi yang menyebabkan kematiannya. Keluarga turut menamakan rakan kongsi perniagaan dan teman rapat mendiang, Dr Prakash Kumar a/l Jayapalan, sebagai suspek utama yang perlu disiasat.
Kronologi Kes
Dr Shintumathi, yang membuka sebuah klinik swasta bersama Dr Prakash di Petaling Jaya pada Julai 2023, dilaporkan mempunyai hubungan peribadi dengan rakan kongsinya itu. Hubungan mereka dikatakan diketahui oleh isteri Dr Prakash, yang dikatakan menjadi punca persengketaan antara mereka.
Pada 5 Oktober 2023, CCTV menunjukkan Dr Shintumathi kembali ke kediamannya di Kelana Jaya dalam keadaan murung dan lemah. Beberapa hari kemudian, beliau ditemui mati di atas katilnya, dengan keadaan yang mencurigakan.
Laporan patologi mendedahkan bahawa sebuah objek plastik sepanjang 22 cm telah disumbat ke dalam mulutnya, menimbulkan persoalan bagaimana seseorang boleh membunuh diri dengan cara sedemikian.
Aspek Mencurigakan
Keluarga mendiang juga mendakwa bahawa terdapat kelemahan dalam siasatan pihak polis, termasuk kegagalan mendapatkan rakaman CCTV dari 6 hingga 8 Oktober 2023, serta kegagalan menghantar tilam yang berlumuran darah di tempat kejadian untuk analisis forensik.
Mereka juga mempertikaikan laporan kematian awal yang dikeluarkan oleh seorang pelajar Master, yang menurut mereka sepatutnya ditandatangani oleh pakar forensik yang lebih berpengalaman.
Presiden Nambikkai Malaysia menuntut agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memandang serius kes ini dan mengarahkan siasatan semula yang lebih teliti.
“Keluarga mendiang berhak mendapat keadilan dan pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” tegas Dato’ Dr KalaiVanar.
Sehingga kini, sebanyak 18 laporan polis telah dibuat oleh keluarga Dr Shintumathi, yang berharap agar kes ini tidak dipandang ringan dan siasatan semula dapat dilakukan segera.