KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan acara ‘Malam Mendengar’ yang dilancarkan di Jakarta tahun lalu, Penyanyi dan penulis lagu terkenal dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan persembahan eksklusif di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Mei ini.
Persembahan istimewa yang diberi nama “Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur” ini hadir selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada peminat Nadin di Malaysia.
Bagi Nadin, “Malam Mendengar” bukan hanya sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah pengalaman yang menghubungkan dirinya lebih dekat dengan peminat melalui lirik yang penuh makna.
“Saya sangat teruja dan gementar untuk memenuhi harapan peminat Malaysia.
“Persiapan ini amat penting bagi saya kerana saya ingin memberi yang terbaik,” katanya.
Apa yang lebih menarik adalah susunan muzik yang akan disajikan dalam persembahan ini.

Buat pertama kalinya, Nadin akan mempersembahkan gubahan muzik orkestra, memberikan dimensi baru kepada lagu-lagunya yang sudah cukup dekat di hati peminat.
Ini pastinya memberikan pengalaman yang lebih segar dan mendalam berbanding penampilan sebelumnya.
“Saya berharap peminat di Malaysia akan meluangkan masa untuk menyaksikan ‘Malam Mendengar’. Acara ini juga memberi peluang kepada mereka untuk melihat perkembangan saya sebagai seorang pemuzik,” katanya lagi.
Sementara itu, penganjur acara dari Renjana Idea, Siti Azlina berkata, persembahan ini bukan sekadar hiburan biasa.
Ia adalah sebuah perjalanan emosi yang lebih intim dan eksklusif, yang membolehkan peminat menikmati muzik Nadin dalam suasana yang lebih dekat dan personal.
“Kami teruja dapat membawa ‘Malam Mendengar’ ke Kuala Lumpur.
“Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang ini, dan kami yakin pengalaman muzik yang lebih mendalam ini pasti akan memberi impak kepada mereka,” katanya.

Bagi mereka yang sudah lama mengagumi Nadin, persembahan ini pastinya menjadi detik nostalgia yang penuh makna.
Dengan susunan muzik yang lebih matang dan emosional, peminat dapat merasai perjalanan muzik Nadin yang telah berkembang sejak pertama kali dia mengunjungi Malaysia.
Tiket untuk acara ini sudah mula dijual sejak 12 Februari 2025, dan boleh didapati di www.golive-asia.com dengan harga seperti berikut: Tawa (RM658), Sorak Sorai (RM258), Sorai (RM238), Kekal (RM248), dan Bunga Tidur (RM178).
Peminat juga boleh membeli tiket Meet & Greet dengan tambahan RM298.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman luar biasa ini.