Harga beras putih import TURUN, Tunggu pengumuman BERNAS
PUCHONG, 14 Februari 2025 – Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengesahkan isu kehilangan beras putih tempatan yang mencetuskan keresahan rakyat sebelum ini kini dianggap selesai. Perkara itu dimaklumkan selepas sesi penerangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam.
Menurut Syed Abu Hussin, kerajaan telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menangani isu ini, terutamanya melibatkan dua pihak utama dalam rantaian bekalan beras iaitu pesawah dan pengguna. Harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, walaupun pesawah pada awalnya memohon harga sehingga RM1,800.
Kenaikan harga lantai ini diharap dapat mengurangkan tekanan kepada pesawah, yang sebelum ini terpaksa berdepan persaingan pengilang berebut membeli padi hingga menyebabkan harga meningkat sehingga RM2,000 per tan metrik. Dalam masa yang sama, harga beras putih tempatan untuk pengguna kekal pada RM26 bagi pek 10 kilogram.
Bagi mengimbangi kos antara pesawah dan pengguna, kerajaan telah menyediakan peruntukan khas sebanyak RM150 juta. Peruntukan ini bertujuan menampung perbezaan harga yang wujud dalam proses rantaian bekalan, melibatkan pengilang, pemborong, dan peruncit.
Kerajaan juga memberi jaminan akan memperketatkan penguatkuasaan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan bekalan beras putih tempatan terus stabil di pasaran. Syed Abu Hussin menegaskan bahawa jika semua langkah ini dilaksanakan dengan baik, isu kehilangan beras putih tempatan tidak akan berulang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh mengenai harga beras import yang kini menunjukkan trend penurunan selari dengan harga pasaran dunia. Bagaimanapun, pengumuman rasmi mengenai harga beras putih import akan dibuat oleh syarikat BERNAS dalam masa terdekat.
Dengan perkembangan positif ini, rakyat diharap dapat menarik nafas lega selepas isu bekalan beras tempatan yang meruncing sejak beberapa bulan lalu mula menunjukkan tanda pemulihan.
#krisisberas #selesai #NACCOL #SyedAbuHussinHafiz #beritatrending #beritaviral