GOMBAK, 15 FEBRUARI 2025 – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan kerjasama Bursa Malaysia Berhad telah melancarkan Program Pelaburan dan Karnival Saham bagi tahun 2024/2025, sebagai usaha meningkatkan penglibatan masyarakat India dalam bidang pelaburan saham. Program ini dirangka untuk memperkasa sosio-ekonomi komuniti tersebut melalui pegangan ekuiti, di samping memberi pendedahan berkaitan pelaburan yang selamat.

Menurut Pengerusi MITRA, YB P. Prabakaran, hanya sekitar tiga peratus masyarakat India memiliki akaun saham atau terlibat dalam pelaburan, satu kadar yang rendah berbanding kaum lain. Oleh itu, karnival ini diadakan bagi meningkatkan literasi kewangan dan membendung penipuan kewangan (scam) yang sering menyasarkan golongan muda dan kurang berpengetahuan dalam bidang pelaburan.

Karnival ini dijalankan secara berperingkat di sembilan negeri iaitu Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor. Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,500 peserta masyarakat India.
Pelbagai reruai agensi kerajaan seperti ICU Jabatan Perdana Menteri, KWSP, PERKESO, AKPK, dan institusi kewangan turut mengambil bahagian bagi memberi penerangan tentang perkhidmatan mereka. Acara turut dimeriahkan dengan sesi ceramah oleh pakar pelaburan, cabutan bertuah, pendaftaran e-Kasih, pameran perkhidmatan Tekun Nasional, serta penyertaan syarikat broker saham.
MITRA juga memperkenalkan Malaysian Indian Investment Programme (MIIP) yang menyasarkan golongan belia India berumur 18 hingga 40 tahun. Program ini dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu Tahap Permulaan (Beginner) untuk 500 peserta, Tahap Pertengahan (Intermediate) untuk 300 peserta, dan Tahap Lanjutan (Advanced) untuk 150 peserta yang berpotensi. Peserta di peringkat lanjutan akan ditawarkan penempatan pekerjaan dalam sektor kewangan.
YB Prabakaran menegaskan bahawa MIIP bukan sahaja memberi ilmu berkaitan saham, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada peserta yang benar-benar komited. Langkah ini diyakini mampu mengubah persepsi masyarakat India terhadap pelaburan dan membuka ruang menjana pendapatan melalui ekonomi digital dan pasaran saham.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia supaya mereka memanfaatkan teknologi, bukan sekadar menghabiskan masa di media sosial, tetapi menjadikannya platform untuk menjana pendapatan melalui pelaburan. Karnival Saham dan MIIP diharap mampu mengurangkan kes penipuan pelaburan yang kerap menimpa masyarakat India akibat kurangnya ilmu kewangan.
Permohonan untuk menyertai MIIP dibuka mulai 21 Januari hingga 21 Februari 2025 menerusi pautan https://forms.gle/qUoe1N54FLDqgha39 atau laman Facebook rasmi MITRA. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada MITRA di talian 03-88711180 atau Bursa Malaysia di talian 03-20347401.