KUALA LUMPUR – Bagi membantu golongan asnaf dalam melakukan persediaan kembali ke sekolah, Masjid Al Mukhlisin Alam Damai, Cheras, telah melaksanakan program ‘Back to School’ dengan memperuntukkan sebanyak RM9,000.
Program dengan kerjasama pengeluar pakaian sekolah yang juga syarikat bumiputera, Trillion Times Sdn Bhd itu bertujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan dengan memberikan bantuan berupa kelengkapan sekolah.
Menerusi program kali ini, seramai 100 pelajar di sekitar kawasan Alam Damai, Cheras menerima set pakaian sekolah lengkap bersama insurans kemalangan secara percuma.
Pengerusi masjid, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim berkata, pihaknya tertarik untuk menjalinkan kerjasama dengan pembekal pakaian sekolah berkenaan sekaligus sebagai usaha membantu mempromosikan produk keluaran Bumiputera.

“Ini adalah usaha daripada Biro Kebajikan masjid bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
“Sebanyak RM9,000 diperuntukkan untuk pakaian sekolah ini di mana RM150 untuk setiap pelajar akan mendapat set kelengkapan sekolah berserta insurans kemalangan selama setahun berjumlah RM44,000.
“Selain mereka adalah syarikat Bumiputera, kualiti kain yang dihasilkan juga menarik minat saya untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka melalui penganjuran program seperti ini.
“Malah harga set yang diberikan juga sangatlah munasabah. Semoga jenama pakaian ini akan berjaya menembusi pasaran tempatan setanding dengan jenama pakaian sekolah yang lain,” katanya.
Acara itu turut mendapat kerjasama daripada Giat Mara yang turut menyediakan khidmat gunting rambut secara percuma pada hari berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trillion Times Sdn Bhd, Rina Rosyaira Hussain, berkata, inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, sambil memberikan kesedaran mengenai kepentingan memiliki insurans kemalangan.

“Dengan pakej pembelian bernilai RM150, setiap set pakaian sekolah mengandungi baju, seluar, beg sekolah, stokin, dan kasut sekolah, ditambah pula dengan insurans takaful kemalangan diri untuk setiap pelajar.
“Program ini bukan sahaja memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan jenama pakaian sekolah baru di bawah nama Adam, Hawa, dan Unity.
“Jenama ini menekankan kualiti kain yang baik dan berpatutan dengan harga yang ditawarkan, memenuhi keperluan pelajar tanpa mengabaikan nilai yang diberikan,” katanya.

Sebagai langkah memperkenalkan produk ini kepada orang ramai, pakaian sekolah ini kini boleh didapati dengan pembelian secara talian melalui laman web rasmi www.timeschool.my.
Program ini juga adalah usaha syarikat untuk memasuki pasaran tempatan dan memberikan pilihan lebih baik kepada ibu bapa di Malaysia.