Filem seram Thailand yang dinantikan ramai, Panor, bakal menghantui pawagam Malaysia bermula 20 Februari 2025. Naskhah ini merupakan sebahagian daripada trilogi terkenal Art of the Devil yang sinonim dengan elemen dendam serta ilmu hitam. Menggabungkan unsur mistik dan tragedi, filem ini dijangka memberi pengalaman seram yang mendebarkan kepada penonton.

Mengisahkan seorang gadis muda bernama Panor, kehidupannya berubah sejak lahir apabila dilahirkan pada hari seorang penduduk kampung melakukan ritual melepaskan ilmu hitam. Kejadian itu menyebabkan Panor dilabel sebagai pembawa malang, malah dihina dan dijauhi oleh penduduk setempat kerana percaya kehadirannya membawa musibah.

Setiap individu yang mendekatinya dikatakan menjadi mangsa kejadian aneh serta serangan ilmu hitam. Panor hidup dalam ketakutan dan kesepian, sehingga dia mula membongkar rahsia gelap di sebalik nasib malang yang menimpanya. Dia menemui kebenaran mengejutkan bahawa sumpahan kuat telah diletakkan ke atas dirinya sejak lahir, mengikatnya kepada takdir penuh kejahatan.

Filem ini diterajui oleh pengarah Puttipong Saisrikaew dan dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Cherprang Areekul, Jackrin Kungwankiatic, Chalita Suansane, serta Rattanawadee Wongtong. Dengan durasi selama 120 minit, filem ini diklasifikasikan sebagai 18 untuk tontonan penonton dewasa sahaja.

Panor bukan sekadar kisah seram biasa, tetapi turut mengetengahkan konflik dalaman seorang gadis yang bergelut dengan trauma, kesunyian, dan ketakutan terhadap kuasa gelap yang membelenggu hidupnya. Penonton pasti dibawa menyelami dunia mistik yang dipenuhi pengkhianatan, dendam, dan ritual ilmu hitam yang mengerikan.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Panor di pawagam GSC seluruh negara bermula 20 Februari 2025. Adakah Panor mampu melepaskan dirinya daripada sumpahan itu, atau dia akan terus diburu oleh takdir jahat hingga akhir hayat? Segalanya bakal terjawab pada 20 Februari 2025 ini.

Leave a Reply