KLANG – Pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor, mencipta sejarah tersendiri dengan membuka ST Rosyam Mall, sebuah kompleks beli-belah pertama yang terletak di Jalan Kebun, Klang, Selangor.
Dengan keluasan 114,000 kaki persegi, pusat beli-belah ini menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih luas dan selesa kepada pelanggan.
Bagi menyemarakkan lagi pembukaannya, Rosyam Nor turut melancarkan kempen RM1.5 Juta Ganjaran Untuk Anda, yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk 100 pakej Umrah percuma untuk pelanggan bertuah di ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart.
ST Rosyam Mall menampilkan lebih 30 premis dari pelbagai kategori, termasuk fesyen, makanan, dan teknologi.
Sebagai tambahan, beberapa premis turut beroperasi 24 jam seperti Khulafa dan Nasi Lemak Burung Hantu.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan gelanggang Pickleball yang dibuka sepanjang masa serta tempat parkir yang luas dan surau yang selesa.

Rosyam yang juga Pengarah ST Rosyam Mart, berkata, ST Rosyam Mall bukan sekadar pusat beli-belah biasa, tetapi ia adalah satu simbol kepercayaan dan dedikasi dalam menyediakan pengalaman membeli-belah terbaik untuk rakyat Malaysia.
“ST Rosyam Mall bukan hanya sebuah pusat beli-belah biasa. Ia diwujudkan dengan konsep yang memenuhi keperluan seisi keluarga, daripada makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan banyak lagi, semuanya di bawah satu bumbung,” katanya.
Di lokasi yang sama, Rosyam turut melancarkan cawangan kelapan ST Rosyam Mart dengan tawaran istimewa.
Kempen RM1.5 Juta Ganjaran Untuk Anda turut dapat dinikmati di ST Rosyam Mart. Pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti kereta Proton X70, Goldbar, barangan elektronik, baucar, dan yang paling menarik, pakej 100 Umrah percuma.
Sebagai simbolik kepada pembukaan cawangan baharu, ST Rosyam Mart menawarkan promosi Ayam Seekor serendah RM0.88 sen.

Selain itu, lebih 100 barangan promosi berharga serendah RM0.08 sen hingga RM0.88 sen boleh didapati oleh ahli ST Kad.
Promosi hebat ini akan berlangsung selama 14 hari bermula dari 19 Mac hingga 1 April.
ST Rosyam Mart terus membuktikan dirinya sebagai pasaraya yang berinovasi dengan menyediakan 22 servis percuma, termasuk Pandu Lalu Pengambilan Barang Pesanan, yang pertama seumpamanya di negara ini.
Pelanggan juga boleh mendapatkan barangan basah seperti ikan segar dari jeti dan daging tempatan berkualiti tinggi dalam suasana membeli-belah yang selesa.
“ST Rosyam Mart adalah manifestasi kepada prinsip perniagaan kami yang sentiasa menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.
Dengan operasi 24 jam, kemudahan membeli secara borong, serta keutamaan kepada barangan segar, kami mahu memastikan pelanggan sentiasa berjimat setiap kali berkunjung,” kata Rosyam lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann, berkata kerjasama antara Sri Ternak, ST Rosyam Mall, dan ST Rosyam Mart mencerminkan komitmen mereka dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.

“Kami yakin ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart akan menjadi destinasi utama pengguna yang mengutamakan keselesaan, kepelbagaian produk, dan nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya.
Beliau turut menyentuh inisiatif seperti Pandu Lalu Pengambilan Barang Pesanan yang memberikan fleksibiliti dan kemudahan kepada pelanggan.
Dengan pelbagai kemudahan dan tawaran menarik yang disediakan, ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart dijangka akan menjadi destinasi membeli-belah pilihan utama di Klang dan Malaysia.