KUALA LUMPUR – Selepas mencipta fenomena luar biasa di Malaysia, kumpulan legenda KRU bakal mengukir sejarah baharu apabila kembali menemui peminat mereka di Singapura menerusi konsert eksklusif, GenKRU Live In Singapore, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025 di The Star Theatre.

Konsert yang dinanti-nantikan ini menandakan kemunculan semula trio ikonik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim di pentas antarabangsa selepas sekian lama tidak mengadakan persembahan secara langsung di Kota Singa.

Dihoskan oleh penganjur hiburan terkemuka, ICON Entertainment, konsert ini dijangka mencetuskan semangat nostalgia dan keterujaan dalam kalangan peminat setia KRU yang telah mengikuti perjalanan seni mereka sejak awal 1990-an.

Kemunculan semula KRU melalui Konsert GenKRU yang pertama kali diumumkan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada bulan Mei lalu telah mencetuskan fenomena luar jangka.

Semua tiket habis terjual dalam masa yang singkat, memaksa penganjur menambah dua hari tambahan menjadikan KRU sebagai kumpulan muzik pertama di Malaysia yang berjaya menganjurkan konsert selama tiga hari berturut-turut di venue berprestij itu.

Kejayaan luar biasa itu menjadi pemangkin kepada perluasan momentum ke Singapura.

Pengasas dan pemilik ICON Entertainment, Iman Tang berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila KRU segera menerima pelawaan untuk mementaskan GenKRU Live In Singapore, sekali gus menjadikan impian membawa kumpulan itu kembali ke Singapura satu kenyataan.

“Daripada sebuah perbualan santai, akhirnya kami capai kata sepakat untuk realisasikan konsert ini.

“Kami percaya peminat di Singapura juga layak diberikan momen eksklusif untuk menyaksikan KRU secara langsung di negara mereka sendiri.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, ia adalah penghargaan kepada legasi KRU dan sokongan peminat yang tidak pernah surut,” katanya.

Mewakili KRU, Edry Abdul Halim berkata, mereka teruja untuk kembali beraksi di Singapura.

“Kami amat menghargai sokongan peminat di Singapura sejak awal perjalanan seni kami.

“Konsert ini adalah tanda terima kasih dan dedikasi kepada mereka. Sampai bertemu, Singapura. Kalau nak lagi ‘gerek’, jangan lupa ikut tema pakaian dan hafal semua lagu KRU,” katanya.

GenKRU Live In Singapore dijadual berlangsung pada hari Sabtu, 28 Jun 2025, bermula jam 8 malam di The Star Theatre.

Tiket akan mula dijual secara berperingkat menerusi platform SISTIC.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori pengalaman peminat, bermula dari SGD$208 hingga SGD$328.

Maklumat lanjut serta perkembangan terkini berkenaan jualan tiket dan pengumuman khas akan dikongsikan dari semasa ke semasa oleh pihak penganjur.

Peminat disarankan untuk mengikuti saluran rasmi ICON Entertainment dan SISTIC bagi memastikan tidak terlepas peluang menyertai acara yang dijangka menjadi antara sorotan terbesar dalam kalendar hiburan Singapura tahun ini.

Harga tiket:

SGD $ 208 (The Way We jam)

SGD $218 (Mengerti)

SGD $ 228 (Awas)

SGD $ 288 (Ohh! La!la!)

SGD $ 328 (Fanatik)

By Cynthia

Leave a Reply