FELDA Bukit Damar – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melancarkan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat sebagai langkah drastik memulihkan hak peneroka yang sekian lama terjejas akibat manipulasi peraih dan ketirisan sistem. Inisiatif ini diharap menjadi titik tolak reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil sawit peneroka.

Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, menegaskan bahawa sistem lama sebelum ini membuka ruang kepada eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti sindiket penimbang dan agen luar. “Peneroka bekerja keras, tetapi hasilnya dikaut oleh ‘singa, buaya, dan gajah’ dalam sistem yang tidak telus,” tegasnya.

Menurut beliau, FELDA menanggung kerugian hampir RM200 juta setahun akibat aktiviti luar sistem dan kehilangan hasil tidak direkod. “Keuntungan peraih yang tidak berusaha, sawit ‘hilang’ dalam transit, dan pembayaran tidak jelas melemahkan koperasi serta ekosistem luar bandar,” tambah Ahmad Shabery.

PMS Damar Berkat akan memberi kawalan penuh FELDA ke atas rantaian pengumpulan hasil sawit, dari ladang hingga kilang. Semua transaksi akan direkod secara digital bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan manipulasi. “Ini soal keadilan – menuntut kembali hak peneroka,” ujarnya.

Keuntungan operasi pusat ini akan dikembalikan kepada peneroka melalui dividen Koperasi Permodalan FELDA (KPF). Langkah ini dijangka memulihkan dividen KPF yang pernah merosot dari 14% kepada 5% ekoran kelemahan sistem sebelumnya.

FELDA turut memperkenalkan lori elektrik (EV) berteknologi kebolehjejakan bagi mengurangkan kebocoran. “Damar Berkat bukan sekadar pusat fizikal, tapi simbol perjuangan memulihkan maruah peneroka,” tegas Ahmad Shabery.

Peneroka kini boleh menjual hasil pada harga lebih adil dengan bayaran pantas dan telus, tanpa bergantung pada peraih luar. Pusat ini juga berfungsi sebagai pangkalan data sistematik untuk perancangan strategik FELDA.

Transformasi ini selaras dengan visi FELDA sebagai organisasi mampan dan berdaya saing, sekaligus memulihkan kepercayaan peneroka setelah sekian lama terjejas oleh pengurusan lemah dan pengaruh pihak ketiga.

Leave a Reply